Hoki 5s Piala Asia : Pasukan Wanita Ke Piala Dunia Hoki 5s 2024

Kejayaan Malaysia mengecewakan Indonesia 2-1 dalam penentuan shoot-out selepas perlawanan sebenar penentuan tempat ke-3 dan ke-4, Kejohanan Hoki 5’s Piala Asia 2023 (Wanita) di Salalah Oman, hari ini, tamat dengan keputusan 4-4, membawa Malaysia ke Piala Dunia Hoki 5s, Muscat Oman 2024 yang akan berlangsung pada 24 hingga 31 Januari 2024.

Malaysia yang ketinggalan 1-4 pada aksi perlawanan sebenar berjaya untuk bangkit mengikat kedudukan 4-4 dan seterusnya mengheret perlawanan ke penentuan shoot-out sekaligus menutup kempen Kejohanan Hoki 5’s Piala Asia 2023 (Wanita) Salalah, Oman selaku pasukan di kedudukan ketiga terbaik.

Jaringan shoot-out oleh Zati Alyani Muhamad Zubir dan Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri membantu Malaysia untuk memenangi perlawanan hari ini selain ketangkasan penjaga gol negara, Siti Noor Hafiza Zainordin, yang menidakkan percubaan lawan wajar diberikan pujian.

Pada aksi perlawanan 30 minit, Malaysia dikejutkan dengan jaringan pembukaan Indonesia menerusi gol “challenge” Paulina Ronsumbre pada minit kelapan diikuti dua gol padang berturut-turut Salma Maulani pada minit ke-10 dan 13.

Malaysia cuba untuk bangkit menerusi gol Zati Alyani Muhamad Zubir pada minti ke-14 namun beberapa saat kemudian Indonesia menambah satu lagi gol menerusi Nisa Indira untuk  mendahului 4-1 pada separuh masa pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Malaysia dihadiahkan dengan penalti stroke dan Nurul Safiqah Mat Isa memastikan kelebihan tersebut diterjemahkan kepada jaringan sebelum Thibatharshini James merapatkan kedudukan 3-4 pada minit ke-27.

Beberapa saat sebelum aksi sebenar tamat, Kapten Negara, Nur Syafiqah Mohd Zain muncul penyelamat dengan menjaringkan gol penyamaan 4-4 hasil gerakan padang yang sekaligus mengheret perlawanan ke penentuan shoot-out.