KEPUTUSAN
BELANDA………….3 INDIA…………..4

INDIA memperagakan permainan beroreintasikan serangan kemas pada babak kedua untuk merakamkan kemenangan dramatik 4-3 ke atas pasukan pilihan, Belanda, petang ini – sekaligus menempah tiket ke saingan separuh akhir Piala Dunia Remaja.
Penyudahan permainan suku akhir kedua ini jelas melesetkan ramalan awal ketika Belanda disebut-sebut ada kemampuan besar untuk layak berpandu kepada kejayaan mengungguli saingan Kumpulan D.

India’s Amandeep Lakra and Netharlands Oliver Hortensius battle for the ball in their JWC quarterfinals match at the National Hockey Stadium in Bukit Jalil today.

Wakil Eropah itu mendahului 2-0 dan satu ketika menepati jangkaan itu tapi India hadir garang pada lewat babak permainan meledakan empat gol untuk menghampakan lawan. Belanda masih bermimpi mahu memburu gelaran pertama mereka selepas 44 tahun.
Dalam perlawanan separuh akhir Khamis ini, India yang juga juara edisi 2001, 2016 akan menentang Jerman – barisan yang menyingkirkan juara bertahan, Argentina 2-1.
Dalam aksi suku akhir kedua, penguasaan bertukar tangan dengan Belanda mendominasi suku pertama dan kedua sebelum India bangkit mengimbangi cabaran selepas rehat. Ia mencetus sorakan penonton yang terhibur dengan aliran serangan pantas kedua-dua pasukan.
Tertekan, Belanda menggunakan ‘power play’ dengan mengeluarkan penjaga gol mereka, Daan Taphoorn ketika permainan berbaki hampir enam minit ditamatkan. Namun, ia gagal membantu kemaraan mereka walaupun memperoleh tujuh pukulan sudut penalti pada minit-minit terakhir permainan untuk menyamakan kedudukan.


PENJARING
Belanda: Timo Boers (minit ke-5), Pepijn Van Der Heijden (minit ke-16), Olivier Hortensius (minit ke-44)
India: Arjun Aditya Lalage (minit ke-34), Araijeet Singh Hundal (minit ke-35), Anand Kushwaha Sourabh (minit ke-52), Uttam Singh (minit ke-58)

APA KATA JURULATIH
C R Kumar (ketua jurulatih India)
“Kami tertekan selepas ketinggalan 0-2 dan ramai sudah berangapan kami akan tersingkir pada ketika itu, sebagaimana ramalan awal. Kami juga mensia-siakan banyak peluang untuk mendapatkan jaringan.
Ketika rehat, saya bangkitkan semangat pemain dan berkata jika mereka mahu ke separuh akhir mereka perlu tukar perwatakan. Saya gembira mereka bangkit dan setiap pemain berhak ke atas kemenangan ini.
Kami akan menentang Jerman dalam separuh akhir. Mereka adalah satu barisan yang bagus dan bertarung dengan baik atasi Argentina. India pernah menjadi juara dan kami sedang meniti ke arah itu.”
Jesse Mahieu (ketua jurulatih Belanda)
“Saya berasa kami gagal bermain seperti dirancang. India memiliki pemain baik dan memberi tekanan kepada kami pada babak kedua permainan.
Pada kedudukan 2-0, peluang kami belum terjamin. Mungkin ia lebih selesa jika kami mendahului 3-0 atau 4-0. India nampak lebih bijak dan pemain gagal mengekalkan strategi mereka. Kami akan berehat esok dan beri tumpuan kepada perlawanan berikut.”