Jelajah Australia Medan Speedy Tigers Uji Kemampuan

Pasukan Senior Lelaki Kebangsaan akan berlepas ke Perth Australia, esok, bagi mengharungi siri Jelajah Australia dan pulang ke tanah air pada 3 Mei depan dengan enam perlawanan persahabatan keseluruhan telah diatur buat pasukan yang akan menggalas cabaran di FIH Piala Negara-Negara, Malaysia pada Jun 2025.


Siri Jelajah Australia merupakan tugasan antarabangsa pertama buat Speedy Tigers pada tahun ini dan Ketua Jurulatih Kebangsaan, Sarjit Singh menyifatkan ia adalah peluang terbaik untuk pemain-pemainnya mempamerkan kebolehan masing-masing.


Skuad Speedy Tigers yang menjalani kem latihan bermula 3 Mac lalu dengan seramai 30 pemain dipanggil bagaimanapun membariskan 22 pemain bagi siri jelajah ini.


“Siri jelajah ini perlu manfaatkan dengan sebaiknya oleh pemain-pemain yang dipilih kerana dengan intensiti perlawanan yang tinggi serta berdepan lawan yang berkualiti seperti Australia, ini adalah peluang terbaik mereka menunjukkan kebolehan yang dimiliki.


“Pasukan juga mahu pemain-pemain muda yang menyertai siri jelajah ini menggunakan pengalaman berharga ini dengan sebaik mungkin bagi terus memperbaiki diri kerana peluang bermain dengan pasukan berkualiti tinggi tidak akan selalu dimiliki,” katanya.


Skuad negara akan turun menentang Western Australia pada aksi persahabatan pertama pada 23 April (Rabu), disusuli aksi kedua berdepan pasukan yang sama pada 24 April, Khamis.


Baki empat perlawanan persahabatan akan berlangsung pada 28 dan 29 April serta 1 dan 2 Mei bertemu Australia sebelum pulang ke Kuala Lumpur.


Dalam masa sama, Sarjit mahu memberi penekanan kepada aspek taktikal terutama bagaimana pasukannya mampu bermain dibawah tekanan dan kekal konsisten.


Jelasnya, beliau mahu melihat sejauh mana keserasian para pemain selepas sebulan lebih menjalani sesi latihan bersama, selain menguji beberapa strategi yang akan diterapkan dalam pasukan.


“Kami mahu memberi tumpuan kepada pelaksanaan taktikal pasukan bermain di bawah tekanan dan konsisten dalam situasi tempo tinggi serta dapat menyesuaikan diri dengan gaya permainan yang berbeza.


“Kami akan menilai bagaimana para pemain membuat keputusan, terutama bergerak sebagai satu unit ketika bertahan dan menyusun pergerakan dalam menyerang. Selain itu, kami berharap dapat membina keserasian yang lebih kukuh dalam skuad dan menguji pelbagai kombinasi juga strategi dalam suasana yang kompetitif,”  ujarnya.


Tambah Sarjit, siri Jelajah Australia ini sangat penting, maka beliau dan barisan kejurulatihan tekad memanfaatkan peluang ini dengan sebaiknya dalam membentuk skuad terbaik sebelum mengharungi kempen Piala Negara-Negara bermula 15 hingga 21 Jun kelak.


“Siri Jelajah ini memainkan peranan penting dalam persiapan kami untuk Piala Negara-Negara. Bersaing dengan pasukan peringkat tertinggi seperti Australia menawarkan pendedahan perlawanan yang tidak ternilai dan membantu kami mengenal pasti perkara yang memerlukan penambahbaikan menjelang kejohanan besar.


“Ia juga merupakan peluang untuk kami memuktamadkan skuad terbaik kami, menilai tahap kecergasan dan menerapkan struktur taktikal yang kami ingin bawa ke Piala Negara-Negara nanti,” katanya.


Speedy Tigers mempunyai beberapa kejohanan besar pada tahun ini termasuk Kejohanan Piala Asia yang menawarkan slot automatik ke Piala Dunia buat pasukan yang muncul juara dan kejohanan ini dijadualkan berlangsung pada 27 Ogos hingga 7 September di India.


Selain itu, Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan turut menyertai dua kejohanan lain iaitu Piala Sultan Azlan Shah dari 22 hingga 29 November serta Sukan SEA Thailand dari 9 hingga 20 Disember 2025.


Berikut merupakan senarai 22 pemain yang dipilih bagi menyertai Siri Jelajah Australia

BIL. NAMA POSISI
1 MUHAMMAD HAFIZUDDIN BIN OTHMAN PENJAGA GOL
2 MOHAMMAD RAFAIZUL BIN MOHAMAD SAINI
3 MUHAMMAD MARHAN BIN JALIL PERTAHANAN
4 SYED MOHAMMAD SYAFIQ BIN SYED CHOLAN
5 MUHAMMAD AMIRUL HAMIZAN BIN AZAHAR
6 FAIZ HELMI BIN JALI
7 MUHAMAD FARIS BIN HARIZAN
8 ANDYWALFIAN JEFFRYNUS
9 MUHAMMAD NAJMI FARIZAL BIN JAZLAN
10 SYARMAN BIN MAT TEE
11 MOHD FITRI BIN SAARI TENGAH
12 NIK MUHAMMAD AIMAN BIN NIK ROZEMI
13 MUGHNI BIN MOHAMAD KAMAL
14 MUHAMMAD ADAM ASHRAF BIN MOHD JOHARI
15 MUHAMMAD SHAFIQ BIN HASSAN
16 ALFARICO LANCE LIAU JR
17 SHELLO SILVERIUS PENYERANG
18 MUHAMMAD AZRAI AIZAD BIN ABU KAMAL
19 NORSYAFIQ BIN SUMANTRI
20 MOHAMMAD HARRIS ISKANDAR BIN OSMAN
21 MOHAMAD AKHIMULLAH BIN ANUAR ESOOK
22 MUHAJIR BIN ABDU RAUF

Berikut merupakan jadual perlawanan persahabatan Speedy Tigers di Jelajah Australia

TARIKH / HARI MASA LAWAN VENUE
23/04/2025 – Rabu 6.00 Petang WESTERN AUSTRALIA STADIUM HOKI PERTH UNIVERSITI CURTIN
24/04/2025 – Khamis 2.25 Petang
28/04/2025 – Isnin 4.25 Petang AUSTRALIA
29/04/2025 – Selasa 4.25 Petang
01/05/2025 – Khamis 9.40 Pagi
02/05/2025 – Jumaat 9.55 Pagi

** Waktu Malaysia dan Perth, Australia tiada perbezaan.