KEPUTUSAN
Kumpulan B
JERMAN………5 AFRIKA SELATAN……..3
PERANCIS…….3 MESIR……………………..1

JUARA enam kali, Jerman dipaksa mengharungi satu halangan sukar sebelum dapat menewaskan Afrika Selatan 5-3 dalam perlawanan pertama Kumpulan B, kancah Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja (JWC) di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pagi ini.

Kapten pasukan Jerman, Matteo Poljaric (kiri) ceria selepas jaringan ketika menentang Afrika Selatan dalam saingan Kumpulan b, Piala Dunia Remaja

Jaguh Afrika itu nyaris meragut satu mata apabila merapatkan jurang jaringan pada babak kedua tetapi Jerman dengan kualiti mereka berjaya memulakan cabaran dengan langkah kanan.
Namun, cabaran lebih sukar menunggu anak didik Rein van Eijk untuk mengesahkan slot ke suku akhir apabila berdepan Perancis yang juga mengutip mata penuh menewaskan Mesir 3-1 dalam satu lagi perlawanan terdahulu pada edisi ke-13 kali ini.


Jerman mengesahkan mata penuh menerusi jaringan Christian Franz pada minit ke-5, Florian Sperling(m10), Liam Holdermann (m24), Matteo Poljaric (m41) dan Ben Hasbach(m59) manakala Afrika Selatan memberi saingan sengit hasil sumbangan David Tshebi (m24), Jaydon Brooker (m-39) dan Hans Neethling (m53).
Ini adalah kemenangan kedua terkini dirakamkan oleh Jerman selepas membelasah lawan sama 6-1 dalam Kejohanan Piala Sultan Johor (SOJ) di Johor Bahru pada Oktober lalu.

APA KATA MEREKA
Ketua jurulatih Jerman (Rein van Eijk)
“Saya akur kami terpaksa berhempas pulas untuk memenangi perlawanan ini. Kami agak selesa pada babak pertama tetapi pada dua suku berikut Afrika Selatan mengimbangi dan menekan kami. Ini memeranjatkan kami.
Dalam bahang cuaca di gelanggang, kami menggunakan segala kekuatan untuk bangkit dalam satu halangan yang memang sukar. Saya gembira akhirnya kami dapat mengutip mata penuh. Saya kagum dengan rentak permainan Afrika Selatan.
Esok (6 Disember ) kami bertemu Perancis dan ini juga dianggap halangan sukar tapi kami akan cuba menyambung rentak kemenangan dan juga lebih fokus kerana lawan dari Eropah ini bukan lagi barisan mudah. Mereka menang pingat gangsa pada edisi 2021 di India dan pasti mahu mengulangi kemampuan mereka di Kuala Lumpur,”
Ketua jurulatih Afrika Selatan (Elliot Guy)
“Pada babak kedua, kami bangkit memberi saingan dan berjaya merapatkan jurang jaringan. Saya bangga dengan persembahan pemain saya yang menampilkan satu perwatakan baik. Tapi Jerman adalah pasukan yang berkualiti dan menggunakan kemampuan mereka pada lewat babak permainan untuk menambah jaringan.
“Saya harap kami akan mendapat rentak lebih baik dalam perlawanan kedua menentang Mesir dan kemenangan dianggap penting ibagi survival kami. Kami perlu lebih konsisten sepanjang kejohanan ini untuk mencatat keputusan positif dan mara lebih jauh di sini”.

SEMENTARA ITU, Perancis memberi isyarat awal akan hajat mereka dalam Piala Dunia Remaja (JWC) selepas memperagakan aksi mantap menewaskan Mesir 3-1 dalam saingan Kumpulan B di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa.
Pemenang pingat gangsa edisi 2021 di Bhubanewsar di India itu kini menguatkan cengkaman mereka dengan mengutip tiga mata dan akan bertemu Afrika Selatan dalam halangan berikut esok (6 Disember).

Pemain Perancis menyambut gol pertama pasukan ketika menentang Mesir dalam saingan Kumpulan B di Stadium Hoki Nasional,Bukit Jalil pada Selasa (5 Disember). Perancis menang 3-1.

Perancis mengesahkan kemenangan menerusi Arthur Morcrette pada minit-21, Mathis Clement (m25) dan Gaspar Xavier (m38) manakala gol tunggal Mesir adalah sumbangan Ahmed Elhadi, m49.

Penjaga gol Mesir, Mahmoud Hussin cuba menyekat gempuran pemain Perancis depan gawangnya dalam saingan Kumpulan B di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Selasa (5 Disember).

APA KATA MEREKA
Ketua jurulatih Perancis (Matthias Dierckens)
“Memang sukar untuk memulakan kejohanan, khususnya dalam perlawanan pertama. Kami sudah lama bertemu Mesir dan perlu menyesuaikan diri dengan corak permainan mereka. Apapun, saya kurang puas hati dengan persembahan keseluruhan pasukan, hari ini walaupun menang dan mengutip mata. Pemain melakukan kesilapan taktikal yang asas. Ini perlu dipertingkatkan.”
Ketua jurulatih Mesir (Moustafa Khalil)
“Kami mempelajari kesilapan dalam perlawanan ini. Perancis nampak lebih tersusun dan bersedia. Lagi pun, kami membawa pemain muda dalam skuad dan mereka kekurangan pengalaman dalam kejohanan besar. Kami mahu menunjukkan peningkatan dalam perlawanan kedua apabila menentang Afrika Selatan esok. (6 Disember).”