
QUARTER FINAL 1
KEPUTUSAN
ARGENTINA………….1 JERMAN………….2
TIDAK dinafikan, aksi dua gergasi – Jerman dan Argentina – menepati segala intipati diperlukan untuk satu pertembungan klasik di pentas suku akhir yang pertama pagi ini,
Akhirnya, hanya satu yang dapat mara ke separuh akhir Piala Dunia Remaja dan tiket berharga itu menjadi milik Jerman yang tampih gah menewaskan juara bertahan itu 2-1 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil/
Keringat dan komitmen tinggi dicurahkan berbaloi bagi juara enam kali itu dan bakal bertemu pemenang di antara saingan Belanda-India dalam slot empat terakhir, Khamis ini.
Argentina yang terdesak mencari gol penyamaan terpaksa menggunakan ‘power-play’ apabila mengeluarkaan penjaga gol utama mereka, Agustin Magdalen. Namun, usaha itu tidak membawa sebarang hasil dan Jerman bertahan baik sehingga semboyan dibunyikan.
PENJARING:
Argentina: Agustin Magdalena (minit ke-48)
Jerman: Hugo Von Montgelas (minit ke-32), Jakob Brilla (minit ke-39)

APA KATA JURULATIH
Rein van Eijk (ketua jurulatih Jerman)
“Kami memulakan langkahan dengan baik mengerti Argentina akan bertahan dan lega apabila kami mendahului 2-0. Ini modal bagus kerana kami sudah agak terpaksa bertahan dengan tekanan pihak lawan, khasnya pada lewat babak permainan. Saingan bertambah sukar dan suku keempat memang cukup emosional.
Apabila Argentina mengeluarkan penjaga gol mereka untuk ‘power play’ pada enam minit terakhir, kami lebih bersikap tenang dan ini membantu kami mengawal kubu menangkis asakan bertalis arus lawan. Kami lega tiket ke separuh akhir dicapai dan akan memikirkan strategi bagi halangan berikut, mungkin India atau Belanda.”
Juan Ignacio Gilardi (ketua jurulatih Argentina)
“Kekalahan memang menyedihkan. Pemain saya terasa emosi atas kegagalan ini. Kami hilang mahkota kejuaraan dan kini harus mengalihkan fokus kepada perlawanan berikut (perlawanan penentuan tempat 5-8).

Kami juga tidak puas hati dengan cara pemain Jerman membuat bising dan mengganggu tumpuan kami pada minit-minit terakhir permainan. Ini satu sikap yang tidak baik. Sebaik tamat permainan ada juga salah seorang daripada pegawai mereka mencekup leher penjaga gol kami. Kami akan melihat rakaman video insiden ini dan baru akan ambil tindakan sama ada mahu membuat laporan rasmi kepada FIH.”