KEPUTUSAN
PERANCIS………….5 AFRIKA SELATAN …….4
JERMAN…………….10 MESIR…………………..0
KEDUDUKAN
KUMPULAN B
PERANCIS gah muncul pasukan pertama layak ke pentas saingan suku akhir, diikuti juara enam kali, Jerman selang beberapa jam kemudian selepas kedua-dua pasukan melengkapkan jadual perlawanan Kumpulan B dengan nota kemenangan.
Perancis mengesahkan tiket ke slot lapan terakhir selepas menang tipis 5-4 ke atas Afrika Selatan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil manakala Jerman bersahaja membelasah pasukan tercorot, Mesir 10-0.
Penyudahan ini menyaksikan Perancis – pemenang pingat gangsa edisi 2021 di Bhubaneswar, India – melonjak selaku juara kumpulan dengan himpunan sembilan mata maksimum. Jerman yang tewas kepada Perancis 0-2 tempoh hari sekadar berpuas hati selaku naib juara.
Kedua-dua pasukan akan berehat dua hari sebelum memulakan cabaran suku akhir menentang dua pasukan teratas Kumpulan A membabitkan, sama ada Argentina, Australia atau Malaysia pada Selasa ini. Satu lagi pasukan, Chile sudah lebih awal tersingkir.

Perancis dan Afrika Selatan menarik tumpuan penonton dengan berbalas-balas jaringan dalam satu saingan ‘pesta gol’ daripada kedua-dua pihak pada perlawanan awal pagi, hari ini.
Kemenangan itu membutirkan sembilan mata maksimum membolehkan Perancis muncul juara Kumpulan B – sekaligus muncul pasukan pertama layak ke suku akhir kejohanan.
Dalam babak pertama saja, sembilan gol dijaringkan dengan tujuh daripadanya hasil jaringan padang ketika serangan bertali arus disajikan kedua-dua pasukan.
Lima gol Perancis adalah jaringan Jules Verrier pada minit pertama, Stanislas Branicki (m4), Garpard Denis (m15), Matis Clement (m22) dan Louis Haertelmeyer (m27) manakala gol Afrika Selatan menyusul menerusi Hans Neethling (m14), Caleb Oliphant (m15) dan Cameron Le Forestier (m21,25).
Anehnya, ledakan tambahan tiba-tiba terhenti tanpa sebarang gol daripada kedua-dua pihak pada suku ketiga dan keempat.
APA KATA MEREKA
Matthias Dierckens (ketua jurulatih Perancis)
“Babak pertama memang gila. Kita lihat sembilan gol. Saya jangkakan kalau ledakan gol berterusan selepas rehat mungkin perlawanan ini berakhir dengan keputusan 8-9 atau 9-9, umpamanya.
Kami cukup gembira dapat mengumpul sembilan mata. Itulah objektif kami. Pertama untuk layak ke suku akhir dan muncul juara kumpulan.
Kami akan berehat dua hari dan akan melawat sebuah sekolah Perancis di sini sebelum menghadapi perlawanan suku akhir nanti.”
Guy Elliott (ketua jurulatih Afrika Selatan)
“Kami turun ke gelanggang hari ini mengerti harus menang dengan kelebihan tiga gol untuk layak dan mengambil pendekatan menyerang. Usaha itu berhasil pada babak pertama tapi selepas rehat pemain saya sudah nampak keletihan. Ini membantutkan gerakan jentera serangan pasukan.
Saya rasa Perancis juga keletihan tetapi mereka tidak tertekan dan bahagian tengah mereka cukup bagus. Situasi ini halang kami untuk mencuri peluang mengejar jaringan tambahan. Mereka memang pasukan hebat dan layak ke suku akhir.
Sekarang kami akan rehat dan bersedia untuk perlawanan klasifikasi. Harap dapat mencari kedudukan terbaik.”
Sementara itu, Jerman menjadikan Mesir mangsa pembelasahan dengan jaringan 10-0 mengatasi Mesir dalam saingan berat sebelah.
Turun dengan sasaran untuk menang Jerman melakukan apa diperlukan untuk mendapatkan tiga mata sahaja untuk layak ke pusingan kalah mati tapi mungkin terkejut dapat mengutip gol terbanyak.
Tidak ada apa-apa mampu dilakukan oleh Mesir yang gagal menjawab gempuran lawan mereka yang lebih perkasa apabila mendahului selesa 6-0 pada babak pertama sebelum menambah derita wakil dari Afrika itu dengan ledakan empat gol lagi selepas rehat.

Rein Van Ejik (ketua jurulatih Jerman)
“Hari ini kami tidak mengambil kira berapa gol mahu dijaringkan tetapi hanya untuk menang dan mendapatkan tiga mata. Pada babak pertama pemain juga agak malas dan kurang bijak membuat dalam membuat keputusan dalam kawasan D lawan.
Namun, apa yang penting kami berjaya layak ke suku akhir dan kemungkinan akan bertemu Argentina nanti. Kami belum lagi mahu memikrikan peluang untuk memburu gelaran di sini tapi akan memberi tumpuan kepada perlawanan kalah mati pada Selasa ini. Ini lebih penting.”
Moustaffa Khalil (ketua jurulatih Mesir)

“Keputusan ini tidak mengejutkan. Jerman pasukan yang hebat, Kami juga ada masalah kecederaan dan hanya memilik 15 pemain yang cergas untuk perlawanan.
Kami harap dalam perlawanan klasifikasi nanti keadaan akan berubah untuk kami bermain lebih baik.”
ends