Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini dengan berbesar hati mengumumkan jalinan kerjasama bersama dua syarikat iaitu Kian Joo Can Sdn Bhd yang membantu pengeluaran minuman rasmi KHM (Speedy Tigers) dan Young Tiger Sports iaitu penaja pakaian rasmi bagi pasukan Hoki 5s Kebangsaan.
Kian Joo Can Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat terbesar dalam bidang pembungkusan di rantau ASEAN yang mengeluarkan semua jenis tin dan bekas seperti tin minuman aluminium, kotak karton beralun untuk pasaran tempatan dan eksport.
Sementara itu Young Tiger merupakan syarikat pengeluar pakaian sukan berpangkalan di Jerteh, Terengganu tidak asing dalam menaja pakaian bagi pasukan Terengganu Hockey Team (THT) serta beberapa sukan lain lagi di negeri Terengganu.
Mewakili KHM dalam majlis sidang media memperkenalkan penaja hari ini ialah Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal, Naib-Naib Presiden KHM, En. Shurizan Mansor, En. Hasnizam Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif KHM, En. Nishel Kumar. Sementara hadir mewakili Syarikat Kian Joo Can iaialah Director Commercial Marketing, En. Jeff Lau dan Ketua Pegawai Eksekutif Young Tiger Sport, En. Abu Hashim.
Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal dalam sidang media yang berlangsung hari ini nyata gembira dengan kerjasama yang terjalin serta berharap sasaran KHM dalam ingin mengkomersialkan KHM bagi jangka masa panjang dapat berjalan mengikut perancangan yang telah dirangka.
“Seperti yang telah kami maklumkan sebelum ini, KHM dalam usaha untuk bergerak mencari dana sendiri dan ini adalah perancangan saya bagi terma baru pentadbiran saya.
“Sebagai salah satu initiatif KHM dalam memastikan perancangan berjalan dengan lancar, kami bebesar hati dengan tampilnya Syarikat Kian Joo Can sebagai rakan kerjasama yang membantu dan memberikan sokongan kepada kami dengan menghulurkan penjagaan sebanyak RM 300 Ribu dalam menghasilkan minuman Speedy Tigers pada Kejohanan FIH Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki, Kuala Lumpur, Malaysia 2023.
“Bagaimanapun pemasaran minuman ini tidak hanya tertumpu untuk dipasarkan ketika Piala Dunia Remaja ini sahaja tetapi juga akan dipasarkan di pasaran luar serta mensasarkan penjualan kepada peminat sukan hoki di Malaysia,” jelas Dato’ Sri Subahan Kamal.
Mengulas mengenai penajaan pakaian yang diberikan kepada Pasukan Hoki 5s Kebangsaan, Dato’ Sri Subahan Kamal menyifatkan pakaian rasmi bagi pasukan Hoki 5s Kebangsaan akan membuka peluang kepada peminat sukan hoki untuk mendapatkan variasi pilihan pakaian lain dengan harga yang lebih mampu milik.
“Syarikat Young Tiger Sport telah tampil dengan penajaan pakaian berjumlah keseluruhan RM 100 Ribu dan penajaan pakaian yang diberikan adalah termasuk pakaian jersi utama, jersi kedua, penjaga gol juga pakaian bagi perjalanan pasukan untuk ke mana-mana kejohanan.
“Pakaian ini telah mendapat kelulusan daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dan ini akan menjadi pakaian rasmi untuk pasukan Hoki 5s bagi jangka masa panjang,” tambah Dato’ Sri Subahan Kamal.


