Korea Selatan memastikan Kanada pulang tanpa sebarang kemenangan di Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024 selepas membelasah pasukan itu 4-1 pada penentuan tempat kelima dan keenam di Ipoh, petang ini.
Keputusan itu, meletakkan skuad kendalian Min Taeseok menamatkan kempen PSAS edisi ke-30 di kedudukan kelima manakala Kanada di tempat keenam.
Pada aksi itu, Kong Yoonho membuka tirai jaringan pada minit ke-15, disusuli ledakan Lim Dohyun yang menyempurnakan pukulan sudut penalti seminit kemudian.
Pintu gol Kanada terus dirobek pada suku kedua, dengan giliran Seo Inwoo mencetak gol ketiga hasil gol padang pada minit ke-17 dan Jung Hyunho menyudahkan pukulan sudut penalti (m-24) bagi jaringan keempat buat Korea Selatan.
Kanada memperolehi gol saguhati pada minit ke-50 menerusi pukulan sudut penalti disudahkan Harbir Sidhu.
Kemenangan itu juga melebarkan rekod menang Korea Selatan kepada 10 daripada 13 pertemuan antara kedua-dua pasukan sejak Sukan Olimpik 1988 di Seoul.
Untuk rekod, pada aksi round robin PSAS 2024, Korea Selatan hanya mampu menang 1-0 ke atas Kanada pada Selasa lalu (7 Mei).
Selepas ini, kedua-dua pasukan akan kembali beraksi di Piala Negara-negara di Gniezno, Poland pada 31 Mei hingga 9 Jun nanti.
KOREA SELATAN: MIN TAESEOK (JURULATIH)
“Hari ini kami bermain dengan baik dan saya gembira kerana pemain-pemain mengikuti segala perancangan dan taktikal dibuat. Selepas ini kami pulang ke Korea untuk persediaan di Kejohanan Piala Negara-negara.
Kita juga berjaya menyudahkan dua pukulan sudut penalti yang memberi kita gol daripada empat yang diperolehi.
Enam perlawanan yang diharungi di sini memberi pengalaman sangat berguna kepada pemain-pemain saya. Akhir sekali, terima kasih kepada MHC(Konfederasi Hoki Malaysia) dan Persatuan Hoki Perak kerana menganjur kejohanan yang bagus seperti ini.”
KANADA : PATRICK TSHUTSHANI (JURULATIH)
“Saya boleh pastikan mereka(pemain) sentiasa memiliki semangat melawan tetapi jika anda gagal memegang bola ia akan memberi kesukaran.
Kami mula kehilangan tenaga dan Korea Selatan menggunakan peluang itu. Perancangan selepas ini, kami akan balik menjalani sesi latihan bagi persediaan kejohanan seterusnya.
Banyak pengajaran yang kami dapat di sini dan ia memberi pengalaman kepada pemain-pemain untuk lebih matang pada perlawanan-perlawanan akan datang.
Fokus utama kami dalam skuad ini adalah layak ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) selepas kali terakhir beraksi di Olimpik adalah Tokyo 2020”.