Malaysian Tigress dibekalkan dengan latihan berintensiti tinggi bagi membolehkan mereka beraksi di bawah tekanan menjelang Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita 2024 yang akan membuka tirai pertandingan pada 11-20 November ini di Rajgir, India.

 

Ketua jurulatih skuad hoki wanita, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata, amat penting untuk anak-anak buahnya mampu mengekalkan momentum ketika sedang beraksi bagi mengelak para pemain mudah menyerah kalah kepada mana-mana lawan yang mereka bakal temui.

 

“Masalah yang dihadapi pemain kita ialah mental mereka kekurangan semangat kepahlawanan yang mampu bangkit menentang lawan, jadi, bagi mengatasi isu itu satu latihan tekanan tinggi telah mereka jalani sebagai persiapan ke ACT.

 

“Kita mahu mereka tunjukkan walau apa pun yang bakal berlaku dalam sesebuah perlawanan itu perjuangan perlu diteruskan dan kena bertahan sampai habis.

 

“Perlawanan kali ini pasti lebih sukar, kita mahu sasarkan lima terbaik dan menang satu demi satu perlawanan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Jersi Skuad Hoki Wanita dan Remaja Kebangsaan serta Pasukan Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita dengan Mizuno di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

 

Keempat-empat pasukan negara itu bakal menyarung jersi Mizuno pada kejohanan yang akan mereka sertai selepas ini.

 

Mohd Nasihin memberitahu, skuad bimbingannya kini sudahpun berada di fasa terakhir persiapan bagi mengharungi kejohanan berprestij itu.

 

Jelasnya, Malaysia akan memulakan aksi mereka berdepan tuan rumah, India pada 11 November kemudian diikuti menentang China (12 November), Korea Selatan (14 November), Jepun (16 November) dan Thailand (17 November).

 

“Dalam aksi pembukaan sahaja kita sudah bertemu sebuah pasukan yang kuat iaitu India, ini merupakan peluang terbaik untuk pasukan berusaha keras memberi tentangan sengit kepada pasukan skuad gergasi hoki dunia itu.

 

“Tahun lepas kita dibelasah India 0-5, tetapi sejak kekalahan itu kita telah melakukan banyak penambahbaikkan,” ujarnya.

 

Menurut beliau, secara perlahan-lahan Malaysian Tigress dibentuk kembali dan seandainya mereka berjaya meraih kemenangan ia merupakan bonus buat para pemain.

 

“Kalau menang memang bonus, sudah tentu kita akan cuba mendapatkan satu keputusan yang baik, tapi kita juga perlu berpijak di bumi nyata, kita tahu ranking Malaysia di mana, jadikan ini pengalaman berharga,” tegasnya.

 

Tahun lalu, Malaysian Tigress menutup kempen ACT di kedudukan kelima selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Thailand dalam perlawanan klasifikasi tempat ke-5/6 di Ranchi, India.