Dua gol Shello Silverius membantu Skuad Senior Lelaki Kebangsaan bangkit meraih kemenangan pertama selepas menewaskan Mesir 4-1 dalam perlawanan ketiga mereka di Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak.
Setelah dua perlawanan skuad bimbingan A. Arulselvaraj bangkit mempamerkan corak permainan lebih tersusun, terutamanya di bahagian serangan yang lebih tajam memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol.
Malaysia bermula garang, dengan tempo menyerang untuk mencari gol awal permainan tetapi serangan yang diatur dapat dipatahkan oleh benteng pertahanan Mesir yang sebelum ini hanya bolos satu gol dalam tiga perlawanan.
Namun pada minit ke-12 Shello menceriakan penonton yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepada mereka di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah apabila mencetak gol pertama selepas Shello yang berada di sebelah kiri pintu gol berjaya menolak masuk bola hantaran Nik Muhamad Aiman Nik Rozemi.
Kedua-dua pasukan selepas itu dilihat saling berbalas serangan dan Mesir menyamakan kedudukan pada minit ke-26 melalui pukulan sudut penalti oleh Mamdouh Mahmoud untuk kedudukan terikat 1-1 pada akhir separuh masa pertama.
Bermula suku ketiga, Malaysia dan Mesir meneruskan rentak berbalas serangan.
Malaysia dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan kali ini situasi kelam kabut di dalam kawasan gol Mesir ketika cuba menyelamatkan pukulan tersebut digunakan sebaiknya oleh Muhammad Firhan Ashari untuk meletakkan Malaysia kembali dihadapan pada minit ke-40.
Barisan pertahanan Malaysia berjaya mengekang cubaan Mesir untuk kembali menyamakan kedudukan, sambil beberapa serangan balas hampir menghasilkan peluang jaringan.
Pada minit ke-48 Muhammad Amirul Hamizan Azahar menjaringkan gol ketiga melalui gol padang dan dua minit kemudian Shello menjaringkan gol keduanya dalam perlawanan ini menerusi satu lagi gol padang untuk meletakkan Malaysia dalam kedudukan selesa dengan perlawanan berbaki 10 minit.
Kedudukan 4-1 yang memihak Malaysia itu tidak berubah walaupun Mesir hampir merapatkan jurang pada minit ke 57, namun gol mereka dibatalkan akibat kekasaran terhadap pemain Malaysia ketika percubaan gol tersebut.
Kemenangan ini melonjakkan Malaysia ke kedudukan ketiga dari enam pasukan yang bertanding dengan empat mata.
Pengendali Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A. Arulselvaraj menyifatkan kemenangan ini sebagai hasil dari fokus dan keyakinan yang berjaya diterapkan di dalam diri pemain-pemainnya.
"Kali ini saya hanya mengarahkan mereka supaya lebih menikmati permainan dan fokus kepada perancangan. Dari situ keyakinan mereka bertambah dan kita dapat saksikan mereka lebih tajam di hadapan gol. Secara keseluruhan mereka memang menampakkan peningkatan," kata Arul.
"Ada beberapa pemain yang menghadapi kesukaran dari segi fizikal dan kita juga berterima kasih kepada pasukan perubatan yang menjalankan tugas mereka dengan begitu baik untuk menyediakan setiap pemain untuk perlawanan ini," tambahnya.
Esok yang sepatutnya dijadualkan sebagai hari rehat untuk pertandingan, akan menyaksikan sambungan perlawanan Malaysia menentang Afrika Selatan yang tertangguh akibat cuaca buruk semalam dengan berbaki tiga suku untuk dimainkan, dan Malaysia ketinggalan 1-0.
Dalam dua lagi perlawanan hari ini, Jepun berjaya menewaskan Afrika Selatan 4-2, manakala Korea Selatan kekal di tangga teratas setelah menewaskan Pakistan 2-1.
