Malaysia Berdepan Wales Pada Aksi Penentuan Tempat Kelima dan Keenam

Skuad Hoki Lelaki Negara tidak berdepan masalah untuk menewaskan Afrika Selatan 4-2 sekali gus mengesahkan tempat di perlawanan klasifikasi tempat kelima dan keenam Kejohanan FIH Piala Negara-Negara berdepan Wales, esok.

 

Turun dengan misi memburu kemenangan dan mengubat kedukaan kerana tidak berjaya mara ke separuh akhir, skuad Speedy Tigers membuka tirai jaringan pada minit ke-15 menerusi penyudah Syed Syafiq Syed Cholan yang menyempurnakan pukulan sudut penalti.

 

Namun, Afrika Selatan menyamakan kedudukan hasil gol padang Angelo Walstroom pada minit ke-30 untuk kedudukan terikat 1-1 selepas 30 minit permainan berlangsung.

 

Memasuki suku ketiga, skuad kendalian Sarjit Singh kembali di depan pada minit ke-37 hasil gol padang diledak oleh Muhammad Syafiq Hassan.

 

Tiga minit kemudian penyerang negara, Akhimullah Anuar Esook melebarkan kedudukan Malaysia untuk Speedy Tigers selesa mendahului 3-1 juga menerusi gol padang.

 

Afrika Selatan nyata belum mahu menyerah apabila merapatkan jurang jaringan kali ini menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Carlon Mentoor pada minit ke-51.

 

Enggan mengulangi kesilapan sama dengan membenarkan pihak lawan bangkit pada minit akhir, skuad kebangsaan mengatur gerakan serangan yang berjaya menghasilkan gol keempat menerusi jaringan Fitri Saari pada minit ke-53 sekali gus menyekat kebangkitan Afrika Selatan.

 

Bagi pengendali Speedy Tigers, Sarjit Singh memuji sikap dan semangat pemain yang menunjukkan kebangkitan walaupun berdepan kekecewaan pada perlawanan sebelum ini yang menyebabkan pasukan tidak berjaya mara ke separuh akhir.

 

Katanya, daripada perlawanan-perlawanan sebelum ini, prestasi kali ini berdepan Afrika Selatan belum cukup memuaskan meskipun berjaya mencatat kemenangan.

 

“Kredit kepada semua pemain kerana berjaya bangkit selepas mengalami kekecewaan pada perlawanan sebelum ini yang menyebabkan kita gagal mara ke separuh akhir disebabkan perbezaan jaringan.

 

“Ia tidak mudah dan sukar untuk bangkit seperti ini selepas apa yang dilalui sebelum ini tetapi pemain menunjukkan semangat cukup tinggi.

 

“Secara keseluruhan prestasi perlawanan ini belum cukup walaupun kita menang 4-2. Kita sedikit goyah pada aksi babak pertama tetapi pada minit seterusnya kita bermain lebih baik,” katanya selepas perlawanan.

 

Dalam satu lagi aksi klasifikasi kelima dan kelapan, Wales melakar kemenangan 6-4 ke atas Jepun.