Malaysia Bermula Dengan Langkah Kiri

Skuad Senior Lelaki Kebangsaan memulakan kempen Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2022, edisi ke-29 dengan kekalahan 0-3 kepada Korea Selatan pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak. Walaupun skuad bimbingan A. Arulselvaraj tampak berjaya menyaingi Korea Selatan di awal perlawanan, namun kelebihan untuk memanfaatkan pukulan sudut penalti dilihat antara faktor pemisah. Pengendali Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A. Arulselvaraj jelas kecewa dengan keputusan yang diraih oleh anak-anak buahnya malam ini dan menyifatkan kesilapan yang berlaku di bahagian pertahanan juga serangan perlu dinilai kembali. "Ini satu kekalahan yang agak mengecewakan saya. Kami banyak kehilangan bola dalam pertarungan 50-50. Walaupun kami lebih banyak melakukan penetrasi di bahagian serangan, saya lihat banyak kelemahan dari segi hantaran dan penerimaan bola. “Saya kecewa kerana banyak perkara yang pemain faham apa yang perlu mereka lakukan tetapi kurang berlaku. Saya perlu mengkaji semula adakah kesilapan-kesilapan yang berlaku pada malam ini kerana pemain kurang tumpuan atau kurang keyakinan. “Saya juga melihat kemahuan pemain untuk meraih kemenangan pada aksi pembukaan tidak mencukupi. Saya mahu pemain juga mengambil tanggungjawab daripada keputusan ini dan mengkaji mengapa kami tewas pada malam ini,” jelas beliau. Korea Selatan menghasilkan tiga gol menerusi pukulan sudut penalti dengan jaringan pembukaan mereka terhasil pada minit ke-10 menerusi Jang Jonghyun. Gol kedua Korea pula dihasilkan pada minit ke-30 apabila pertahanan Malaysia yang tertumpu kepada Jang Jonghyun, dengan menyangkakan beliau akan melakukan flik, tetapi sebaliknya Kim Hyeonhong melakukan satu flik ke arah kiri pintu gol negara. Minit ke-33, Jang Jonghyun mencetak gol kedua peribadinya dengan satu flik ke arah kanan pintu gol negara sekaligus menewaskan penjaga gol Malaysia Muhammad Hafizuddin Othman. Malaysia dilihat terus cuba bangkit mencari gol pada baki perlawanan untuk sekurang-kurangnya merapatkan jurang gol tetapi pertahanan Korea Selatan menidakkan setiap serangan yang diatur. Pertemuan kedua menetang Pakistan esok dilihat sebagai misi wajib menang kepada Malaysian Tigers sekiranya mereka mahu kembali mencerahkan peluang bagi beraksi di pentas final selain hanya kemenangan dapat menebus kembali kekecewaan hari ini. Pakistan yang dibarisi rata-rata pemain yang baru diserap dari skuad remaja dalam pada itu tewas 1-4 kepada Afrika Selatan pada aksi pembukaan mereka. Terdahulu, Jepun berjaya mengatasi Mesir dengan jaringan 1-0.   Keputusan Hari Pertama : Jepun 1 Mesir 0, Afrika Selatan 4 Pakistan 1, Malaysia 0 Korea Selatan 3.   Esok: Rabu (2/11/2022) : 4ptg: Afrika Selatan lwn Mesir 6ptg: Jepun lwn Korea Selatan 8mlm: Malaysia lwn Pakistan (Siaran Langsung semua perlawanan di saluran Astro Arena 802)