KEPUTUSAN
(Penentuan tempat 9/12)
MALAYSIA………………2 BELGIUM………….2
(Belgium menang penentuan shoot-out 5-3)
(Penentuan tempat 13/16)
MESIR …………………..1 KANADA……………1
(Mesir menang penentuan shoot-out 3-2)
KOREA SELATAN……..2 CHILE……………….1
MALAYSIA memberi satu persembahan terbaik dalam kejohanan, namun usaha gigih anak didik Muhamad Amin Rahim tidak mencukupi untuk memburu status terbaik pada edisi ke-13, Piala Dunia Remaja, kali ini.
Dalam perlawanan klasifikasi tempat ke-9 hingga 12, tuan rumah yang menyajikan antara aksi terpuji setakat ini, malangnya kecundang kepada Belgium menerusi penentuan shoot-out 5-3 selepas perlawanan terikat 2-2 selepas masa penuh permainan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Tiga pemain pertama negara – Shahmie Irfan Suhaimi, Kamal Mughni dan kapten pasukan, Faris Harizan berjaya menyudahkan tugasan masing-masing menjadikan kedudukan 3-3 untuk menceriakan penyokong tempatan yang mula menyimpan harapan.
Namun, segala-galanya berubah apabila Liau Alfarico yang tampil mengambil gilirannya dipalit hampa apabila usahanya sedikit tersasar. Belgium mengesahkan kemenangan 5-3 menerusi kapten pasukan, Guillermo Hainaut.
Dalam perlawanan penentuan tempat ke-11/12, Jumaat ini, skuad Young Tigers kita akan bertemu pemenang di antara New Zealand atau Afrika Selatan.
Apapun, selera skuad negara mencari sesuatu yang positif daripada perlawanan penting ini jelas kelihatan seawal minit pertama. Perwatakan mereka amat berbeza dengan apa pernah disaksikan pada empat perlawanan lalu – bermain mantap pada empat suku perlawanan.
Peluang skuad negara untuk menang mungkin tercapai andai lapan pukulan sudut penalti diperoleh sepanjang 60 minit permainan dapat diterjemahkan kepada hjaringan.
Komitmen dan fokus sepasukan memberangsangkan – dari segi kawalan dan hantaran bola sehingga tiga pemain Belgium dipaksa mengawal ketat sekurang-kurang tiga pemain barisan depan tuan rumah.
Hujan lebat memaksa permainan dihentikan sebaik tamat babak pertama selepas Belgium mengaut peluang untuk mendahului minit ke-28 hasil jaringan Max Luyten.
Selepas berehat kira-kira 30 minit kerana gangguan cuaca, babak kedua disambung., Belgium menyambung rentak sama dan mendahului semula pada minit ke-36 menerusi Hugo Labouchere tapi Harris Iskandar Osman menyamakan kedudukan apabila pukulan penalti strok dihadiahkan pada minit ke-51 untuk mengheret perlawanan ke penentuan shoot-out.
PENJARING
Malaysia: Ashraf Adam, minit ke-37, Harris Iskandar Osman, 51 (p.s)
Belgium: Max Luyten, minit ke-28), Hugo Labouchere, minit ke-36
APA KATA MEREKA
Muhammad Amin Rahim (Ketua jurulatih Malaysia)
“Saya harus menghambur pujian kepada setiap pemain negara yang beraksi hari ini. Sepanjang 60 minit permainan mereka menyerang dan mengawal kubu dengan mantap.
Kami dapat mengekang Belgium, antara pasukan terbaik di Eropah dengan komitmen dan daya saing yang cukup tinggi. Sekarang kami akan turun ke gelanggang untuk menyambung rentak sama dan cuba mendapat nombor ke-11, Jumaat ini.”
Faris Harizan (kapten Malaysia)
“Kami menghadapi satu lawan yang kuat. Kami ketinggalan 0-2 tapi bangkit merapatkan jurang sebelum seri. Kami kekalkan motivasi sesama kami dan tidak biar lawan menguasai permainan. Kami agak sedih tapi akan teruskan sahaja cabaran kami.”
Jeroen Baart (ketua jurulatih Belgium)
“Kami lega dapat menang dan teruskan sasaran memburu tempat ke-9 terbaik di kejohanan. Malaysia memang cukup mantap hari ini, mereka memberi kami masalah sehingga tamat permainan.
Kami berjaya menampan banyak pukulan sudut penalti lawan dan penjaga gol kami (Boris Feldheim) menyelamatkan kami hari ini.”
Sementara itu, dalam perlawanan klasifikasi tempat ke-13/16, Mesir dan Korea Selatan bakal membuat penentuan untuk tempat teratas selepas memenangi saingan masing-masing.
Korea Selatan menewaskan Chile 2-1 manakala Mesir memerlukan penentuan shoot-out 3-2 selepas perlawanan sepenuh masa mereka berakhir 1-1 untuk atasi Kanada.
Mesir akan menentang Korea Selatan untuk rebut posisi ke-13 manakala Chile menentang Kanada untuk tempat 15/16.