Malaysia meneruskan momentum kebangkitan dengan kemenangan 4-2 ke atas Jepun malam ini dan kemenangan tersebut sekaligus mengesahkan tiket ke perlawanan akhir edisi ke-29 Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak.
Dua jaringan pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd Rahim dan persembahan menakjubkan penjaga gol negara, Muhammad Hafizuddin Othman yang turut dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan memastikan Malaysia melangkah ke perlawanan akhir buat kali keenam sejak kejohanan ini bermula pada tahun 1983.
Aksi menentang Jepun juga menyaksikan Razie Rahim memperolehi caps ke-300 bersama pasukan kebangsaan selain jaringan hari ini turut meletakkan beliau selaku pendahulu carta penjaring gol terbanyak kejohanan setakat ini dengan lima gol.
Penyokong negara yang membanjiri Stadium Hoki Sultan Azlan Shah tidak perlu menunggu lama untuk meraikan gol pertama, apabila Razie Rahim, berjaya menyempurnakan kelebihan pukulan sudut penalti susulan dengan melakukan satu flik mencari sudut bawah sebelah kanan pintu gol Jepun untuk tirai jaringan negara dibuka pada minit ke-8.
Seminit kemudian, satu lagi pukulan sudut penalti di sempurnakan Razie Rahim untuk Malaysia selesa memimpin perlawanan dengan kedudukan 2-0.
Bermula suku kedua, Jepun berusaha keras untuk bangkit dan mengawal permainan dengan serangan bertali arus yang akhirnya mengakibatkan kubu Malaysia bolos pada minit ke-23 melalui satu pukulan sudut penalti oleh Kaito Tanaka.
Bermula sahaja suku ketiga, Malaysia berhasil mendapatkan gol ketiga hasil gerakan serangan pertama dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi memastikan peluang untuk mencatat nama selaku penjaring tidak dipersiakan.
Jepun, yang perlu menang untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir menentang Korea Selatan pada Rabu ini, mula mengambil inisiatif untuk mengawal permainan dan cuba mencari tiga gol untuk mencapai hasrat mereka.
Mereka sekali lagi berjaya merapatkan jurang gol menerusi satu lagi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Shota Yamada pada minit ke-35 dan Jepun terus menekan Malaysia mencari gol penyamaan dengan Malaysia masih di depan pada kedudukan 3-2.
Pada minit ke-38, Hafizuddin Othman muncul wira dengan menyelamatkan pintu gol negara daripada dibolosi apabila Jepun dihadiahkan dengan pukulan stroke gagal untuk menewaskan penjaga gol yang berusia 30 tahun itu.
Aksi itu seperti membangkitkan kembali semangat pemain-pemain Malaysia yang menukar rentak dari bertahan kepada beberapa serangan balas merbahaya pada suku ke-4 yang akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-46 apabila Norsyafiq Sumantri menjaringkan gol padang untuk Malaysia kembali selesa dengan perbezaan dua gol.
Malaysia mengharungi 15 minit terakhir perlawanan dengan berdepan serangan bertali arus dari Jepun, namun pertahanan negara terus kebal, ditambah dengan persembahan luar biasa oleh Hafizuddin Othman yang berjaya menangkis tiga cubaan jarak dekat dari pukulan sudut penalti.
Malaysia menamatkan pusingan round robin di kedudukan kedua dengan 10 mata, tiga mata di belakang Korea Selatan yang mengumpul 13 mata hasil dari empat kemenangan dan satu seri apabila mereka menamatkan pusingan pertama dengan kemenangan 2-1 ke atas Afrika Selatan hari ini.
Jepun mengakhiri pusingan round robin di tempat ketiga dan akan berdepan Pakistan dalam perlawan penentuan tempat ketiga pada hari Rabu. Pakistan menewaskan Mesir 4-1 untuk mengesahkan tempat ke-4 dalam pusingan round robin yang berakhir hari ini.
Perlawanan penentuan tempat ke-5 dan ke-6 akan menemukan Mesir dan Afrika Selatan.
Keputusan Perlawanan Terakhir Pusingan Round Robin:
Korea Selatan 2 Afrika Selatan 1
Pakistan 4 Mesir 1
Malaysia 4 Jepun 2
