Malaysian University Bawa Pulang Tiga Mata

Malaysian University tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan kedua dalam saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025 Wanita, selepas menundukkan Mutiara-MSSPP-PSHA-PKS UNITEN 7-0, hari ini.   Pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang, Malaysian University hanya memerlukan empat minit untuk merobek gawang lawannya menerusi penyudah pukulan sudut penalti disempurnakan Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin dan seminit kemudian giliran Siti Zulaikha Hussain mencetak nama sebagai penjaring.   Skuad kendalian Ikmal Abdul Jabar terus menggandakan jaringan pada suku kedua menerusi Nur Insyirah Effarizal hasil gol padang.   Pesta gol Malaysian University diteruskan dengan empat lagi jaringan terhasil menerusi Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun pda minit ke-36, Nur Aishah Nasir (m-42), Iren Hussin (m-52) dan Qumyra Allysyia Iman Mohd Rizal pada penghujung perlawanan.   Ketua Jurulatih Malaysian University, Ikmal Abdul Jabar berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang berjaya mencatat kemenangan besar.   Namun, beliau mengakui ada beberapa lagi ruang yang perlu diperbaiki dan dipertingkatkan untuk meletakkan pasukan berada dalam prestasi terbaik.   "Berpuas hati dengan keputusan namun ada banyak lagi ruang yang perlu diperbaiki. Pemain beraksi dengan baik, kemenangan ini penting untuk meningkatkan semula semangat sepasukan bagi menghadapi perlawanan seterusnya.   "Harap pemain dapat terus fokus dengan baki perlawanan walaupun dalam tempoh seminggu dua ini, mereka sibuk dengan peperiksaan akhir semester. Saya puji semangat dan kesungguhan yang pemain berikan setakat ini," katanya.   Tambah Ikmal, pasukannya perlu meraih dua kemenangan lagi bagi merebut tempat ke separuh akhir TNB Liga Hoki Malaysia 2025 Wanita.   "Kami kena menang baki dua perlawanan ini untuk mara ke separuh akhir," ujarnya.   Sementara itu, bagi saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025 Premier,  TNB Thunderbolts dan Territory Stingers berkongsi satu mata selepas terikat 1-1 pada aksi di Padang 2 Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.   TNB Thunderbolts terlebih dahulu di depan pada minit ketujuh menerusi jaringan Muhammad Fahmi Khalid yang menyudahkan pukulan sudut penalti.   Ketika TNB Thunderbolts sudah diambang kemenangan, Tarrant Haami-Jones menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-56 bagi memastikan Territory Stingers menutup perlawanan pembukaan mereka dengan kutipan satu mata.   Satu lagi aksi yang berlangsung menyaksikan Matador Hockey Club mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas UiTM HA-KPT di venue yang sama.   Kemenangan ketiga diraih Matador Hockey Club itu, membolehkan mereka mengumpul sembilan mata untuk melonjak ke tangga kelima manakala UiTM HA-KPT turun ke kedudukan keenam liga.