DALAM usaha memantapkan sumber kewangannya, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengambil inisiatif mendaftarkan satu entiti perniagaan di bawah nama Speedy Tigers Sdn Bhd (STSB).
Tujuannya adalah untuk menjana tabungan bagi jangka masa panjang kerana mengerti persekutuan perlu menanggung lebih banyak kejohanan antarabangsa selepas berakhirnya Piala Dunia Remaja (JWC) yang bermula 5 Disember ini.
Brian Fernandez JWC event manager, MHC president Datuk Seri Subahan, OK Group Sales Manager Mohamad Faisal Mohd Hassan and Nishel Kumar MHC CEO
“Sebagai permulaan MHC akan menjual jersi skuad negara, kasut untuk berlari dan juga kasut kegunaan di atas gelanggang astroturf.
“Kedai yang baru ini terletak di aras bawah Stadium Hoki Nasional dan ia akan dikenali sebagai MHC Sports,” kata Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal selepas satu majlis penyampaian penajaan pada hari ini.
Sumbangan itu dibuat oleh Orang Kampung (OK) Group yang tampil dengan penajaan bernilai RM300,000 dalam bentuk wang dan barangan. Antara produk diperkenalkan adalah “Long Qi” - minuman berasaskan herba yang kaya dengan vitamin.
Majlis penajaan oleh Orang Kampung (OK)
Ia akan menjadi minuman rasmi bagi kejohanan JWC dan akan dibekalkan kepada skuad hoki negara sepanjang tempoh kejohanan dan juga kepada penonton dalam stadium sebagai promosi.
Subahan dan Pengurus Jualan Orang Kampung Group Sdn Bhd, Mohamad Faisal Mohd Hassan kemudian bertukar Memorandum Persefahaman (MoU) di pejabat MHC yang turut disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, S Nishel Kumar dan Pengurus Kejohanan, Brian Fernandez.
Pada Rabu, Tenaga Nasional Berhad memberi sumbangan penajaan bernilai RM1 juta bagi kos penganjuran JWC manakala pengendali rangkaian pasar mini, 99 Speed Mart menghulurkan RM1.2 juta bagi tempoh tiga tahun pada September lalu.
Mengenai STSB, Subahan menambah , kedai berkenaan akan dibuka bukan hanya untuk tempoh kejohanan JWC sahaja malah akan berterusan selepas itu.
“Kami bercadang menjual kayu hoki dengan jenama sendiri tapi ia masih dalam proses awalan. Ketika ini kami menjual minuman mineral dan juga produk Orang Kampung.
“Kita juga dapat melihat pada ketika ini, ibu bapa sanggup beli kayu hoki bernilai RM1,600 kerana minat melihat anak mereka berjaya.
“Saya berasa harga itu agak tinggi untuk orang ramai yang cenderung dalam permainan ini.
“Kami akan cuba mendapatkan kayu hoki berkualiti serta peralatan lain dan menjual kepada mereka, umpamanya pada harga RM500 di kedai MHC Sports. Dengan cara ini, MHC akan dapat buat duit dan ketika sama memberi satu harga yang baik kepada umum,” katanya.
Program Pembangunan Hoki Kebangsaan memiliki 5,500 lelaki dan perempuan dari usia 14 sehingga 17 tahun dan mereka boleh membeli daripada MHC Sports.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata anggaran kos untuk MHC menjadi penganjur kejohanan dengan jumlah besar RM1.6 juta adalah untuk bayaran yuran kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).
Upacara pembukaan kejohanan JWC 2023 akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddinAl-Mustafa Billah Shah pada 5 Disember ini sebelum pertemuan antara Malaysia dan Chile jam 8.00 malam.