Negeri Sembilan Kejutkan Juara Bertahan

Negeri Sembilan melakar kejutan ke atas juara bertahan, Malaysian University selepas menang 2-0 dalam perlawanan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025 (Wanita) di Stadium Hoki 2, Seremban, Negeri Sembilan pada Ahad (26 Januari).

 

Kemenangan berharga yang dicatat skuad bimbingan Shaiful Azli Abd Rahman itu membuka laluan kepada Negeri Sembilan melonjak ke kedudukan kedua di dalam carta liga selepas mengumpul tujuh mata daripada dua kemenangan, sekali seri dan sekali kalah.

 

Dalam aksi berdepan Malaysian University yang diterajui jurulatih Ikmal Abdul Jabar, Negeri Sembilan hanya perlu menunggu selama 10 minit untuk meledakkan gol pertama hasil jaringan padang yang disempurnakan oleh Nur Atira Mohamad Ismail.

 

Bagaimanapun, selepas jaringan pembukaan tersebut, kedua-dua pasukan mempamerkan persembahan seimbang dan Malaysian University buntu mencari jaringan penyamaan.

 

Ketika permainan hanya berbaki dua minit untuk berakhir, pemain tuan rumah, Nur Zafirah Aziz menyumbat gol kedua juga yang disempurnakan melalui jaringan padang dan sekali gus memastikan kemenangan 2-0 Negeri Sembilan ke atas Malaysian University.

 

Dengan empat perlawanan telahpun selesai, Negeri Sembilan kini hanya berbaki dua lagi pertemuan untuk dilengkapkan.

 

Skuad bimbingan Shaiful Azli itu bakal berdepan Territory Stingers pada 9 Februari ini di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan aksi terakhir menentang Mutiara-MSSPP-PSHA-PKS Uniten di Stadium Hoki Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang, 13 Februari.

 

Dipisahkan lima mata di belakang pendahulu liga, Blue Warriors yang cemerlang mengutip 12 mata daripada empat kemenangan, Negeri Sembilan perlu memastikan kemenangan menjadi milik mereka dalam dua perlawanan berbaki.

 

Dalam masa sama, mereka perlu mengharapkan Blue Warriors keciciran mata bagi menghidupkan peluang memburu kejuaraan TNB MHL 2025 (Wanita).

 

Bermula esok (27 Februari), liga akan berehat sehingga 3 Februari bagi memberi laluan kepada sambutan Tahun Baru Cina dan TNB MHL akan disambung semula pada 4 Februari.