Juara bertahan, Pahang berada di landasan tepat untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi mereka pada tahun lalu selepas mara ke separuh akhir Kejohanan Kebangsaan Hoki 5 Sebelah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.
Skuad bimbingan, Mohd Sufian Mohamad itu yang hadir dengan ‘ubi muda’ tanpa kehadiran pemain kebangsaan mencatat kemenangan tipis 4-3 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada suku akhir yang berlangsung pagi tadi.
Pada separuh akhir yang diadakan pukul 8.45 malam ini, pasukan Pantai Timur itu sekali lagi bakal berdepan Melaka yang merupakan pencabar mereka dalam saingan peringkat kumpulan.
Melaka pula membenam Terengganu 4-0 dalam satu lagi perlawanan peringkat lapan terbaik.
Dalam pertarungan di peringkat Kumpulan A, Pahang menewaskan Melaka 3-2 dan pertembungan kedua-dua pasukan di separuh akhir dijangka berlangsung menarik bagi perebutan tempat ke perlawanan akhir.
Sementara itu, bagi dua lagi perlawanan suku akhir berkesudahan Perak menundukkan Kuala Lumpur 5-3 dan Perlis membelasah Johor 4-0.
Apa yang menarik, pertembungan antara Perak dan Perlis pada separuh akhir juga merupakan perlawanan kedua mereka dalam kejohanan ini kerana kedua-dua pasukan dari utara tanah air itu berada dalam kumpulan sama iaitu Kumpulan A.
Perlis yang tewas 2-4 di tangan Perak dalam saingan peringkat kumpulan sudah tentu mahu membalas kembali kekalahan tersebut dan peluang itu kembali terbuka di separuh akhir malam ini.
Ini bermakna empat pasukan yang mara ke peringkat empat terbaik ialah merupakan pencabar daripada Kumpulan A.
Selain separuh akhir membabitkan pasukan lelaki, skuad wanita turut bertarung di peringkat sama malam ini melibatkan empat pasukan iaitu Pulau Pinang menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Perak bertemu Kuala Lumpur.