BELANDA ……3 PAKISTAN…………3

BELGIUM……4 NEW ZEALAND……0

PAKISTAN meragut satu mata berharga dalam perlawanan pembukaan apabila menyekat barisan pilihan, Belanda untuk seri 3-3 dalam saingan menarik Kumpulan D, Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja (JWC), hari ini.
Keputusan ini dianggap sebagai ‘satu kemenangan’ untuk Pakistan manakala Belanda agak hampa selepas gagal mencari cengkaman awal dalam misi mereka di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.


Bagi Belanda, mereka harus menyalahkan diri ketika hadir dengan status antara pilihan menjuarai edisi kali ini di Kuala Lumpur. Kini, ranjau mereka tambah perit.
Dalam perlawanan kedua, pemenang pingat perak JWC pada edisi 1985 dan 2009 itu bakal menentang Belgium yang bertindak garang ketika membelasah New Zealand 4-0 dalam saingan kumpulan sama.
Pakistan, juara 1979, akan berdepan New Zealand dan berpandu kepada persembahan terpuji mereka hari ini, ada kemungkinan kemenangan pertama bakal menyusul memihak mereka.
Belanda mendahului 2-0 pada babak pertama hasil jaringan padang menerusi Boris Aardenburg pada minit ke-21 dan Gaspe van der Veen selang sembilan minit kemudian.

Selepas rehat, giliran Pakistan untuk mengambil penguasaan dan keringat mereka berbalas apabila mengikat kedudukan 2-2 hasil jaringan Arshad Liaqat minit ke-32 dan Sufyan Khan (m-36).
Belanda bangkit kembali mendahului 3-2 pada minit ke-47 menerusi rembatan cantik Olivier Hortensius tetapi gagal mengekalkan penguasaan dan nampak keletihan bermain di bawah bahang cuaca sebelah pagi.

Enggan mengalah, pemain Pakistan memberi cabaran dan bersifat rajin. Keringat mereka membutirkan hasil apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-55 selepas dihadiahkan penalti strok. Arbaz Ahmad tampil dan menyudahkan baik untuk satu mata berharga bagi pasukan.
APA KATA MEREKA
Jesse Mahieu (ketua jurulatih Belanda)
“Secara keseluruhan saya gembira dengan pencapaian ini, tambahan pemain terpaksa bermain di bawah bahang cuaca panas. Satu permulaan yang baik dalam kejohanan adalah untuk menang tapi kami seri.
Yang penting kami mengekalkan tekanan ke atas lawan sehingga tamat permainan. Cuma kami terasa kehilangan tenaga pada babak kedua dan ini membantu lawan bangkit mengikat kami selepas kami dahului 2-0. Kami tidak boleh mengulangi corak ini apabila menentang Belgium dalam perlawanan kedua. Kami mengenali corak permainan masing-masing. Belanda harus bangkit dan ia amat penting.”
Roelants Oltmans (ketua jurulatih Pakistan)
“Saya gembira kami dapat satu mata penting dan satu keputusan adil kerana lawan adalah pilihan untuk menang.
Keputusan seri ini satu kejutan kerana Belanda dan Belgium adalah prospek untuk layak ke suku akhir. Sekarang peluang itu sudah terbuka dengan keputusan hari ini.

Apapun, pemain saya hanya bermain bagus dalam satu tempoh dan kemudian persembahan mereka menurun. Ini tak bagus. Harap sikap ini mampu berubah dan mereka dapat meningkatkan konsisten permainan masing-masing apabila menentang New Zealand nanti. “

Sementara itu, Belgium bersahaja membelasah New Zealand 4-0 untuk memulakan kempen mereka dengan langkah kanan dalam kumpulan sama.
New Zealand tidak dapat memberi jawapan kepada ketajaman jentera serangan lawan dan lebih kerap bertahan untuk mengurangkan defisit.
Belgium merakamkan kemenangan besar mereka menerusi jaringan Hugo Labouchere pada minit ke-18 hasil penalti strok sebelum Jack Vloeberghs, Louis Depelsenaire dan Thomas Crols menambah bilangan pada minit ke-18, 21 dan 34.


APA KATA MEREKA
Jeroen Baart (ketua jurulatih Belgium)
“Kami amat memerlukan kemenangan pertama dan tiga mata dalam perlawanan pertama. Saya juga lega kami tidak membiarkan gawang kami dibocori.
Pengalaman kami bermain dengan Australia dalam perlawanan persahabatan beberapa hari lalu juga membantu kami dalam pertemuan dengan New Zealand kerana struktur kedua-dua pemain dari Oceania ini hampir sama dari segi permainan fizikal.
Kini, fokus kami terarah kepada pertemuan menentang Belanda. Kami sudah bermain hampir 10 kali dengan mereka dan juga sudah masak dengan kekuatan mereka, tambahan gaya permainan kami dengan mereka juga sama.”
Aaron Ford (ketua jurulatih New Zealand)

Sufyan Khan mengangkat tangan tanda gembira selepas menjaringkan goal untuk Pakistan ketika seri 3-3 menentang Belanda dalam saingan Kumpulan D hari ini

“Kami nampak tersalah langkah dan memberi Belgium penguasaan awal. Mereka mengaut peluang dan menjaringkan gol. Mereka berhak untuk menang tapi saya tidak menyalahkan pemain kerana setidak-tidaknya berjaya memberi impak sedikit selepas rehat dan menyekat lawan untuk menambah jaringan.
Ya, memang saya kecewa dengan kekalahan ini dan akan mencari punca kekalahan bersama pemain untuk lebih bersedia apabila menentang Pakistan esok (Khamis). Mereka bermain lebih baik ketika ini tapi kami pernah bertemu beberapa kali. Saya yakin kami dapat mengubah nasib untuk mencari keputusan positif nanti.”