KEPUTUSAN
BELGIUM ……………….3 BELANDA……….5
SEPANYOL ………………4 INDIA……………..1

BELANDA memperagakan aksi klasik untuk menguatkan cengkaman mereka dalam saingan Kumpulan D selepas bangkit secara dramatik menewaskan Belgium 5-3, hari ini – sekali gus sudah hampir pasti layak ke pentas suku akhir.
Bagi Belanda kekalahan ini melambatkan impian mereka, namun masih ada peluang untuk layak andai menang mengatasi Pakistan dalam perlawanan terakhir mereka, Sabtu ini.
Belanda sudah mengutip empat mata selepas dua perlawanan – sama dengan pencapaian Pakistan yang kini menerajui kumpulan itu di atas perbezaan jaringan.
Belgium yang satu ketika seperti mampu dapat menang mengatasi Belanda berada satu mata di belakang mereka.
Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan Eropah itu dalam kejohanan rasmi adalah pada JWC 2021 di Bhubaneswar, India dengan Belanda menang 6-2 dalam penentuan tempat kelima dan keenam.

Belgium and the Netherland players in action in the JWC Group D match at the National Hockey Stadium in Bukit Jalil today. The Netherlands won 5-3

Kekuatan Belanda dan Belgium jelas hampir sama dan kedua-dua pasukan masing-masing memperoleh sejumlah tujuh pukulan sudut penalti sepanjang tempoh 60 minit permainan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Belanda membuka tirai jaringan menerusi Timo Boers pada minit ke-9 tapi Belgium bangkit mendahului dengan dua gol pantas menerusi Hugo Labouchere (m-10) dan Maximilian Langer (m-12) sebelum Casper van der Veen menyamakan kedudukan selang enam minit kemudian untuk mengikat kedudukan 2-2 pada babak pertama.
Selepas rehat, Belgium mendahului semula menerusi Diego Hainaut hasil penalti strok minit ke-35 tapi Belanda mendapatkan cengkaman baik pada baki saingan untuk meledakkan tiga gol menerusi Lucas Veen (m-40), Menno Boeren (m-53) dan Timo Boers yang menyudahkan gol keduanya menerusi penalti strok pada minit terakhir permainan.

APA KATA MEREKA
Jeroen Baart (ketua jurulatih Belgium)
“Kami membiarkan gawang kami dibocori dengan mudah, khasnya pada babak kedua. Pemain saya kecewa gagal mengutip mata tapi saya berasa mereka memberikan segala-galanya pada malam ini.
Sekarang usaha mahu layak ke suku akhir berada dalam tangan kami sendiri apabila menentang Pakistan. Jika kami dapat meningkatkan persembahan berbanding, hari ini saya percaya kami akan dapat mengalahkan lawan dan layak. Kami akan berwaspada dengan ancaman mereka tapi ini tidak bererti kami takut dengan mereka.”
Jesse Mahieu (ketua jurulatih Belanda)

“Kami kurang disiplin dalam aspek pertahanan pada awal dan biarkan lawan mendahului. Ia sukar tapi kami berjaya mencari jalan untuk merapatkan jurang sebelum rehat.
Pada ketika itu apa yang terbayang dalam minda adalah kami harus mencari ilham untuk menang dan menyambung survival kami dalam kejohanan ini.
Kami akan cuba untuk mengekalkan prestasi sama apabila menentang New Zealand, Sabtu ini untuk mencari kedudukan terbaik layak ke suku akhir.”
Sementara itu, dalam saingan Kumpulan C, Sepanyol terus gah pada edisi kali ini apabila merakamkan kemenangan kedua berturut-turut menumpaskan juara JWC 2016, India 3-1.
Sepanyol memastikan tiga mata milik mereka menerusi jaringan Pol Cabre Verdiell pada minit pertama dan 41 manakala dua lagi hasil sumbangan kapten pasukan, Andreas Rafi (m-18, 60). India mendapat gol sagu hati mereka pada minit ke-33 menerusi Rohit.

India’s Rohit (left) and Sukhvinder Singh (right) attempt to stop Spain’s Bruno Font in their Group C JWC match at the National Hockey Stadium in Bukit Jalil today.

Keringat ini membutirkan Sepanyol enam mata maksimum untuk menerajui kumpulan manakala India terikat dengan Korea Selatan berbekal tiga mata .
Apapun, India dijangka mampu layak ke suku akhir dalam perlawanan terakhir menentang Kanada yang gagal mengutip sebarang mata setakat ini manakala Sepanyol akan dicabar Korea Selatan.
APA KATA MEREKA
Oriol Torras Puig (ketua jurulatih Sepanyol)
“Ini satu perlawanan yang bagus untuk kedua-dua pasukan. Tapi yang penting kami menang dan menguatkan peluang ke suku akhir. India memberi kami saingan kuat, disebalik keputusan besar bagi kami.
Kami akan rehat esok dan bertemu Korea Selatan dengan minda segar pada Sabtu. Sepanyol memerlukan tiga mata lagi untuk menjadi juara kumpulan. Itulah matlamat kami, hanya fokus kepada perlawanan ketiga.”

C R Kumar (ketua jurulatih India)
“Gol pertama Sepanyol meletakkan tekanan kepada pasukan. Kami mendapat tujuh pukulan sudut penalti tapi hanya satu yang masuk.
Apapun peluang ke suku akhir masih ada dan kami harap dapat membereskan misi itu apabila bertemu Kanada nanti. Saya yakin kami akan pasti memberi persembahan terbaik Sabtu ini untuk menang dan layak.”