
APAKAH mungkin penjaga gol skuad negara, Mohamad Rafaizul Saini, ditukar bagi perlawanan penting menentang Australia, petang esok (Jumaat)?
Senario ini terbit gara-gara kesilapan mudah dilakukan oleh Rafaizul membiarkan gawang pasukan dibocori dua kali ketika tewas 0-4 kepada Argentina malam Rabu.Kesilapan berharga itu harus menghantui fikirannya. Dalam situasi ini dia perlu kekuatan mental untuk bangkit dan lebih bersedia berdepan Australia dalam saingan penting Kumpulan A.

Persoalan sama ada mahu menukar penjaga gawang negara boleh berlegar dalam minda pengurusan pasukan Malaysia kerana sebarang kesilapan yang berikut mungkin membawa padah kepada cabaran kita dalam kancah Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja (JWC) bagi edisi kali ini.
Satu lagi penjaga gol simpanan dalam senarai adalah Muhammad Danish Afnan.
Kekalahan yang ditanggung oleh Young Tigers gara-gara tewas kepada Argentina jelas menyentap semangat pasukan yang mencetus suasana muram. Tapi, rasa kegelisahan ini tidak harus berterusan.
Rafaizul akur dengan apa yang sudah berlaku dan berjanji mahu menguatkan diri menghadapi cabaran berikut.
“Ya, saya akui membuat kesilapan melepaskan gol pertama. Saya kurang fokus dari segi ‘eye on the ball’. Sepatutnya saya tumpu kepada bola tetapi saya mengalih ke arah halangan yang berlaku depan saya.
“Saya berjanji untuk menumpu penuh fokus saya dalam perlawanan dengan Australia untuk menjaga gawang lebih baik dan membantu pasukan,” kata Rafaizul.,
Sementara itu, ketua jurulatih Malaysia, Muhammad Amin Rahim, walaupun setuju kesilapan Rafaizul punca gol pertama menentang Argentina, namum ingin kekal dengan dia menentang Australia.

“Untuk mengekalkan keyakinan Rafaizul, saya harus memberi peluang untuk menebus persembahan semasa bermain pada hari kelmarin,” kata Amin.
Amin juga mengingatkan setiap pemain untuk membuat kerja rumah memikirkan semula kesilapan serta kelemahan ketika menentang Argentina.
Dia arah mereka semua bangkit mencari ilham untuk menewaskan Australia kerana tugasan itu adalah sesuatu yang wajib ketika ini.
“Untuk tempoh sampai Jumaat ini, kita harus pulih dalam semua aspek persediaan dan turun ke gelanggang dengan minda lebih positif,” bertambah Amin.
“Dalam situasi sekarang kita wajib menang untuk masuk ke saingan peringkat suku akhir. Belajar kesilapan dan kemudian memberi persembahan terbaik sepanjang 60 minit apabila menentang Australia.”