Piala Negara-Negara 2: Malaysian Tigress Raih Tempat Ketujuh

Skuad Hoki Wanita Negara akhirnya berjaya meraih kemenangan dengan menutup saingan Kejohanan FIH Piala Negara-Negara 2 dikedudukan ketujuh selepas menewaskan Afrika Selatan 4-3 menerusi penalti shoot-out di Walcz, Poland, hari ini.

 

Pada aksi penentuan tempat ketujuh dan kelapan, skuad Speedy Tigress terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi ledakan Nur Afiqah Syahzani Azhar hasil gol padang pada minit ke-49 namun Charné Maddocks menyamakan kedudukan enam minit kemudian.

 

Kedudukan 1-1 kekal hingga wisel penamat sekali gus pemenang terpaksa ditentukan menerusi penalti shoot-out dan kemenangan memihak kepada skuad negara.

 

Empat pemain yang menyempurnakan pukulan penalti shoot-out adalah Nuramirah Syakirah Zulkifli, Siti Nur Arfah Mohd Nor, Nur Shamine Azureen Mohammed Badusha dan Fatin Shafika Mahd Sukri.

 

Manakala Afrika Selatan sekadar mampu menyudahkan tiga pukulan iaitu menerusi Quanita Bobbs, Onthatile Zulu dan Cerian Fourie.

 

Ketua Jurulatih Speedy Tigress, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim mengakui akhirnya pasukan bimbingan berjaya mencatat kemenangan yang dicari dalam kejohanan itu.

 

Katanya, secara keseluruhan anak didiknya memiliki keupayaan untuk mencabar pasukan lain walaupun belum mencapai tahap yang sepatutnya.

 

Malah, dengan penyertaan di kejohanan seperti ini, ia memberi pengalaman cukup berharga kepada pemain-pemain untuk membentuk diri serta pasukan menjadi lebih baik.

 

“Alhamdulillah, hari ini kita dapat kemenangan pertama. Sebenarnya, pasukan ini ada kemampuan untuk mencabar pasukan lain namun kita masih belum berada di tahap yang sepatutnya.

 

“Beraksi di kejohanan ini, kita dapat banyak pengalaman untuk bermain lebih baik pada pertandingan akan datang. Pasukan ini semakin berkembang.

 

“Ini adalah pertandingan pertama kami. Jadi, ini adalah pengalaman yang sangat baik bagi kami. Ada banyak lagi penambahbaikan yang kita boleh buat dan ada beberapa pemain di Kuala Lumpur yang akan kembali sertai kami,” katanya.

 

Mengulas mengenai kemenangan ke atas Afrika Selatan, Mohd Nasihin mengakui anak buahnya menunjukkan kebangkitan cukup positif selepas tewas kepada Itali 5-0 pada klasifikasi lima hingga lapan.

 

Jelasnya, pasukannya bermain dengan lebih berdisplin berbanding ketika mereka tewas 1-3 kepada Afrika sewaktu aksi peringkat Kumpulan A.

 

“Selepas permainan yang agak buruk semalam (tewas kepada Itali), para pemain telah menunjukkan peningkatan secara individu. Jadi, hari ini mereka semua kembali dengan lebih kuat dan sangat disiplin.

 

“Pemain sangat teknikal dan taktikal serta menunjukkan bahawa amat inginkan kemenangan. Kita juga bermain dengan lebih tenang pada perlawanan ini,” jelas Mohd Nasihin.