Piala Sultan Johor: Malaysia Ke Penentuan Kedudukan Ke-7/Ke-8

Keputusan tewas 4-7 kepada Great Britain pada aksi klasifikasi kedudukan 5 hingga 8, Kejohanan Hoki Bawah 21 tahun (B-21) Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 menyaksikan Malaysia akan bertemu Afrika Selatan di perlawanan penentuan tempat ke-7 dan ke-8.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, Great Britain terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Matthew Hughson yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit kelima.

Empat minit kemudian gawang Skuad Remaja Negara sekali lagi dibolosi, kali ini hasil gol padang disumbangkan oleh Ted Graves pada minit kesembilan, disusuli jaringan Ali Douglas di minit terakhir suku pertama.

Memasuki suku kedua, skuad Young Tigers mempamerkan kebangkitan luar biasa dengan meraih tiga gol berturut-turut menerusi Muhamad Faris Harizan pada minit ke-22 dan Jeffrynus Andywalfian, dua minit kemudian selepas masing-masing menyudahkan pukulan sudut penalti.

Gol hasil gerakan padang Harris Osman pada minti ke-27 memastikan Malaysia menyamakan kedudukan 3-3 untuk kedudukan kembali seimbang menuju penamat separuh masa pertama.

Bersambung suku ketiga, Jacob Payton kembali meletakkan Great Britain mendahului dengan menjaringkan dua gol padang masing-masing pada minit ke-36 dan ke-42.

Bagaimanapun, Muhamad Faris Harizan kembali meniup api kebangkitan dengan merapatkan kedudukan selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-44, namun Great Britain cuba menafikan kebangkitan tersebut apabila Henry Markham merobek gawang skuad negara buat kali keenam pada minit ke-49.

Rory Penrose menjaringkan kemenangan buat pasukannya menerusi gol ketujuh buat Great Britain pada minit ke-54 hasil pukul sudut penalti sekali gus menyaksikan ia merupakan kekalahan keempat berturut-turut Malaysia di SOJC 2023.

Keputusan itu menyaksikan skuad Young Tigers akan berentap pada perlawanan penentuan tempat ketujuh dan kelapan menentang Afrika Selatan pada petang esok.

Sementara itu, pengendali Skuad Remaja Kebangsaan, Muhamad Amin Rahim mengakui kecewa terutama selepas memberi tiga gol mudah pada suku pertama.

“Sedikit kekecewaan apabila kita mudah membenarkan lawan menjaringkan tiga gol pada suku pertama namun kami berjaya untuk kembali dalam perlawanan dengan menjaringkan tiga gol penyamaan.

“Namun, kesungguhan dan keinginan yang ditunjukkan pemain-pemain sehingga berjaya menyamakan kedudukan untuk separuh masa pertama harus saya puji.

“Selepas masuk separuh masa kedua, suku ketiga dan keempat, pemain-pemain sudah ambil lewa serta melakukan kesilapan-kesilapan mudah dan pihak lawan mengambil kesempatan itu untuk menjaringkan gol,” katanya selepas perlawanan tamat.

Tambah Amin, kesilapan seperti ini harus diperbaiki segera sebelum turun beraksi di Piala Dunia Remaja nanti.

“Saya rasa benda ini kita kena perbetulkan sebelum Piala Dunia Remaja nanti dan daripada segi kesungguhan menyamakan kedudukan selepas ketinggalan 3-0, saya harus bagi kredit pada pasukan,” jelasnya.