Blue Warriors dan Malaysian University bakal membuat perhitungan di pentas akhir Piala Vivian May Soars 2025 yang akan berlangsung pada Sabtu (22 Februari) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Blue Warriors berjaya mara ke perlawanan akhir selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Qnet Phoenix pada separuh akhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Masih segar dengan kejayaan menjadi juara TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025, Kategori Wanita, Blue Warriors membuka tirai jaringan seawal minit pertama menerusi gol padang dijaringkan oleh Seul Ki Cheon.
Bagaimanapun Qnet Phoenix bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-19 selepas Nur Syahirah Azwan menyempurnakan pukulan sudut penalti namun Blue Warriors memastikan mereka lebih layak mara ke final apabila Eun Ji Cho meledak dua gol masing-masing pada minit ke-33 dan m-55.
Ketua jurulatihnya, Megat Azrafiq Megat Termizi berkata dalam setiap perlawanan beliau sentiasa meminta anak buahnya untuk memberi aksi terbaik jika mahu memperolehi keputusan positif.
Katanya, selepas berjaya menjadi juara liga, Blue Warriors pastinya berharap mampu meraih kejuaraan berganda
"Perlawanan hari ini kita memanfaatkan peluang yang ada walaupun bermula agak perlahan. Pemain-pemain juga menunjukkan disiplin yang tinggi.
"Pemburuan Piala ketiga ini, kita tahu peluang untuk kedua-dua pasukan adalah 50-50 apabila bermain di final. Ia bukan perlawanan mudah kerana saya pasti Malaysian University ingin merebut satu piala daripada kita.
"Jadi apa yang saya cakap kepada pemain saya, mereka perlu lebih fokus kepada keinginan dan kesungguhan bermain sebagai satu pasukan. Letak segalanya pada final nanti kerana apa sahaja keputusan, apabila kita keluar padang kita rasa puas dan saya percaya jika semua aspek ini ada, Insyallah keputusan akan memihak kepada kita," katanya selepas perlawanan.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir, menyaksikan Malaysian University mara ke final selepas menewaskan Negeri Sembilan 3-0 pada perlawanan yang berlangsung di venue sama.
Jaringan Nur Insyirah Effarizal pada minit ke-10, Atiqah Natasha Abdul Jalil (m-14) dan Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad memastikan Malaysian University mara ke pentas akhir buat kali kedua berturut-turut.
Ketua Jurulatihnya, Ikmal Abdul Jabar mengakui gembira dengan persembahan anak buahnya yang mengikut segala perancanganya ketika menewaskan Negeri Sembilan.
Beliau juga menyifatkan pada perlawanan akhir Sabtu ini, Blue Warriors merupakan pasukan pilihan namun pasukannya akan memberi tentangan sengit untuk menyekat mereka daripada meraih kejuaraan berganda.
"Saya sangat berpuas hati dengan perlawanan tadi sebab kami dapat perbaiki kesilapan semasa melawan Negeri Sembilan di liga tempohari. Analisa yang kami lakukan dapat kami terjemahkan di dalam padang pada hari ini dan pujian saya berikan kepada kesemua pemain yang mempamerkan aksi terbaik pasukan.
"PDRM tetap pasukan pilihan untuk tahun ini, kita dapat lihat di dalam liga dan juga separuh akhir ketika menentang Qnet. Kami akan cuba merancang permainan yang bersesuaian untuk perlawanan akhir ini dan berharap kami berjaya menyekat mereka untuk memenangi kesemua kejuaraan pada tahun ini," kata Ikmal.
