Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini telah melancarkan logo rasmi bagi Kejohanan Antarabangsa Program Pembangunan Hoki Negara Pertama @ Piala Mirnawan (Lelaki B17 & Perempuan B14) 2022.
Nama kejohanan yang diambil bersempena dengan nama Ikon dan Lagenda Hoki Negara, Dato' Mirnawan Nawawi itu akan memulakan aksinya pada 26 November hingga 02 Disember 2022 bertempat di Stadium Hoki Bukit Jalil.
Kejohanan antarabangsa yang julung kalinya diadakan selepas penubuhan Program Pembangunan Hoki Negara ini bakal melibatkan sebanyak 8 pasukan bagi kategori lelaki dan 7 pasukan bagi kategori perempuan dalam 2 peringkat umur yang berbeza iaitu bawah 17 (lelaki) dan 14 tahun (perempuan)
Bagi kategori lelaki, 3 pasukan luar negara dari Japan, India dan Singapura sah menyertai kejohanan ini bagi berentap dengan 5 pasukan tempatan daripaa Sekolah Sukan Malaysia Bukit Jalil (SSBJ), Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) Sukan Sukan Malaysia (SSM) Sabah, NHDP Tigers dan MSS Perak.
Manakala bagi kategori wanita pula, 2 pasukn luar negara masing-masing dari India dan Singapura akan menyertai 5 pasukan tempatan iaitu SSTMI, NHDP Central, NHDP South, NHDP East dan NHDP North.
Antara objektif yang ingin dicapai dalam penganjuran kejohanan kali ini adalah bagi memberikan pendedahan terbaik kepada pemain akar umbi negara beraksi menentang pasukan antarabangsa selain meningkatkan lagi persekitaran pertandingan yang kompetitif dikalangan pemain hoki di peringkat akar umbi.
Selain itu kejohanan ini juga diharap dapat dijadikan platform untuk pemain-pemain menyerlahkan bakat yang dimiliki bagi memikat hati barisan kejurulatihan remaja negara agar dapat diserapkan di dalam Skuad Remaja Negara serta dapat membentuk satu kesinambungan pemain bagi diserapkan di dalam Skuad Sukan Malaysia (SUKMA).
