KEPUTUSAN
SEPANYOL……8 KOREA SELATAN……2
BELANDA……………3 NEW ZEALAND………..1

SEPANYOL mengamuk dengan aksi garang menewaskan Korea Selatan 8-2, pagi ini – sekaligus memberi isyarat awal kepada pencabar lain usah pandang remeh kemampuan mereka untuk mengejar impian pada kejohanan kali ini.
Kemenangan besar ini bererti mereka menjadi pasukan kelima selepas Argentina, Australia, Jerman dan Perancis untuk mara ke suku akhir Piala Dunia Remaja selepas menjuarai Kumpulan C dengan maksimum sembilan mata.
Penguasaan permainan dan gempuran Sepanyol jelas lebih terserlah sejak wisel permulaan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dan tidak mengejutkan apabila mendahului selesa 6-1 pada babak pertama.

Pemain Sepanyol ceria menyambut gol pasukan ketika menewaskan Korea Selatan 8-2 dalam saingan terakhir Kumpulan C, hari ini dan layak ke suku akhir kejohanan kali ini.

Korea Selatan yang dijangka mampu memberi saingan, anehnya gagal menjelmakan perwatakan sebagai jagoan Asia dan kerap kali dilihat terpaksa mengejar bayangan pemain lawan di bawah bahang cuaca pada awal pagi.
Dua gol pantas Sepanyol dalam tempoh seminit pada minit ke-5 dan 6 oleh Pol Cabre Verdiell jelas mengejutkan lawan yang tampak longgar di bahagian benteng.
Selepas itu, Sepanyol meledakkan empat lagi gol membocori gawang lawan menerusi Enric Miralles (m14), Bruno Font (m16) dan Nicolas Alvarez (m-18,28). Korea Selatan mendapat gol menerusi Lee Seunghwan, seminit sebelum tamat babak pertama.

Selepas rehat, Sepanyol memperlahankan rentak serangan – mungkin juga kerana faktor cuaca panas yang melambatkan sedikit pergerakan mereka. Cuma dua gol tambahan menerusi Pablo Espino pada minit ke-32 dan 35 menyelamatkan lawan daripada dibaham dengan angka jaringan lebih besar.Korea berjaya membalas satu lagi pada minit ke-58 menerusi Park Geonwoo untuk mencari sedikit penawar.
APA KATA MEREKA

Oriol Torras Puig (ketua jurulatih Sepanyol)
“Hari ini kami bermain pantas dan banyak menekan lawan apabila dapat mencuri bola. Kami mahu menang dan main pada tahap tinggi – sama seperti apabila bertemu lawan kami dalam suku akhir nanti.
Halangan selepas ini pasti lebih mencabar dan kami akan berehat untuk mengilhamkan apa strategi berikut untuk berdepan lawan – sama ada Belanda, Belgium atau Pakistan.
Sehinga kini kami bermain baik dan setiap pemain mempercayai pada diri masing-masing untuk mara jauh dalam kejohanan ini.”

Jang Young Seo (ketua jurulatih Korea Selatan)
“Saya terpaksa akur Sepanyol menunjukkan tahap persembahan yang cukup tinggi. Mereka kuat pada setiap bahagian. Mereka sentiasa bermain dengan menekan kami. Kami mencuba tapi penguasaan bola mereka cukup bagus.
Pemain saya kekurangan dalam pendedahan dan perlawanan antarabangsa. Kami perlu maju lagi apa yang menguntungkan adalah pasukan Korea Selatan sudah melihat macam mana pemain ternama dunia di sini bermain. Kami akan belajar.”
Sementara itu, Belanda tidak banyak mengerah keringat, namun usaha itu sudah memadai bagi mereka mengatasi New Zealand 3-1 dan layak ke pentas saingan suku akhir Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja (JWC).
Barisan yang memenangi pingat perak dua kali pada 1985 dan 2009 itu mengutip tujuh mata daripada tiga perlawanan dalam Kumpulan D untuk mengesahkan tiket mereka ke slot lapan terakhir pada edisi ke-13 kali ini.

Penjaga gol New Zealand, Hayden Ganley cuba menyekat lawan dari Belanda merebut bola dalam saingan terakhir Kumpulan D, hari ini. Belanda menang 3-1 dan layak ke suku akhir.

Kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertemu dalam JWC adalah saingan suku akhir pada 12 Disember 2013 di New Delhi India dengan kemenangan memihak kepada Belanda yang menang 3-2.
Dalam aksi hari ini, Belanda mengesahkan mata penuh menerusi jaringan Olivier Hortensius pada minit ke-19 dan 31m dan Casper van der Veen, minit ke-22. New Zealand mendapat gol sagu hati sumbangan James Nicolson, minit ke-33.

APA KATA MEREKA
Jesse Mahieu (ketua jurulatih Belanda)
“Saya kurang puas hati dengan persembahan pasukan pada babak kedua berbanding yang pertama.
“Kami ada banyak peluang untuk menambah bilangan jaringan tapi gagal, tambahan sifat leka ditunjukkan selepas mendahului 2-0 memberi ruang kepada New Zealand menambah tekanan ke atas kami selepas rehat.
“Nampaknya kami dijangka bertemu sama ada India atau Sepanyol nanti dalam suku akhir. Tapi saya tak kisah siapa kami bakal bertemu kerana semua halangan selepas ini memang amat sukar dengan barisan terbaik hadir kali ini.”

Aaron Ford (ketua jurulatih New Zealand)
“Jelas pemain saya teruja untuk bertemu Belanda hari ini dan kami tidak turun bermain untuk bertahan semata-mata. Ini bukan sifat kami. Kami cuba cari peluang tapi lawan kami tampak kental dalam permainan mereka.
Kini, kami dijangka bertemu Korea Selatan dalam perlawanan klasifikasi nanti. Biarlah kami membawa momentum hari ini dan cuba mencari kedudukan terbaik untuk menyudahkan cabaran kali ini.”