TEKAD mahu menyudahkan cabaran selaku pasukan ke-11 terbaik dalam kancah Piala Dunia Remaja (JWC) harus berlegar dalam minda tenaga penggempur skuad negara.

Barisan bergelar Young Tigers itu akan turun menentang New Zealand, esok untuk melengkapkan cabaran di laman sendiri dengan nota ceria sebagai hadiah kepada penyokong setia mereka nanti.

Tanpa jaringan tiada apa yang boleh dihasilkan dan mengerti hakikat ini kita berharap dapat melihat satu perwatakan dengan semangat jitu bagi memburu kemenangan.

Pada pengamatan penyerang prolifik, Shamie Irfan Suhaimi momentum daripada perlawanan ketika menentang Belgium tempoh hari memberi dia dan rakan barisan depan, termasuk Harris Osman dan Shamsul Shamir satu rangsangkan baru untuk lebih tepat dalam gempuran.

“Saya dan rakan penyerang akan bermain untuk maruah negara. Kami akan main tanpa pedulikan siapa pencabar kami. Hajat kami tetap
mahu atasi halangan ini,” kata pemain berusia 21 tahun dari Gemencheh, Negeri Sembilan yang pernah mewakili pasukan kebangsaan dalam Piala Dunia awal tahun ini.

Harris kini menjadi pendahulu penjaring dalam JWC yang sedang berlangsung sekarang dengan sumbangan tiga gol dan Shamie pula hanya satu di belakang.

Shahmie Irfan

Inspirasi daripada Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar, harus menyuntik semangat kepada Shamie untuk cuba mencuri peluang mendapatkan satu atau dua gol menentang New Zealand.

Anak kepada bekas penyerang kebangsaan, Suhaimi Ibrahim itu menyumbang dua gol di India. Andai ada tambahan, ia pasti menjadi satu kejayaan peribadi buatnya.

“Siapa tidak mahu jaringan. Itulah tugas yang saya galas sebagai penyerang, bantu pasukan mencari kemenangan. Kami hanya mahu tumpu penuh dalam permainan nanti untuk mendapatkan sesuatu yang positif untuk pasukan,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih, Muhammad Amin percaya anak didik nya, termasuk rangkaian serangan menemui rentak dalam permainan mereka tempoh hari.

Malah, ramai pemerhati dan peminat berkata perlawanan menentang Belgium adalah aksi terbaik ditunjukkan skuad muda negara setakat ini selepas lima perlawanan.

“Sekarang misi yang berbaki untuk pasukan adalah tempat ke-11. Jadi sasaran kami adalah untuk menang dan pemain tahu tugasan masing- masing. Kita juga mahu hiburkan peminat kita,” katanya.