PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal menyuarakan rasa kecewa terhadap skuad muda negara yang kurang menjelmakan perwatakan serta disiplin diharapkan selaku tuan rumah dalam kancah Piala Dunia Remaja (JWC) kali ini.
Disebalik hakikat betapa dia menyedari cabaran dalam saingan Kumpulan A amat mencabar, namun ada sesuatu yang mengajaknya membicarakan akan situasi itu.
Paling ketara baginya adalah aksi kurang konsisten skuad dengan persembahan terumbang-ambing di antara perlawanan dan ketika sama gagal menepati jangkaan MHC dalam usaha layak ke suku akhir. Pada firasatnya, ini sesuatu yang amat mengecewakan.
“Namun, disebalik kegagalan dalam JWC saya secara peribadi percaya pasukan ini ada masa depan cerah. Kami memiliki sembilan pemain yang layak bagi edisi 2025.
“Saya dengar dari beberapa laporan yang menyentuh sikap mereka dan saya harap mereka dapat mengubahnya secara serius. Ada yang bersikap berstatus bintang dan kurang peduli.
“Jika mereka meneruskan dengan sikap ini dan tidak berubah, pengurusan pasukan tidak akan teragak-agak menggugurkan mereka,” kata supremo MHC itu.
Subahan juga menambah, skuad remaja kita sudah pun dibekalkan dengan kemudahan dan pendedahan antarabangsa terbaik.
“Kami sudah beri kemudahan latihan terbaik dengan pakar terbaik dari segi kejurulatihan. Ini semua untuk meningkatkan prestasi pemain. Tambahan adalah tugasan jurulatih juga untuk membimbing anak buah mereka menjadi pemain berkeupayaan tinggi.” katanya.
Dalam perkembangan lain, Subahan juga memberitahu, kecuali ketua jurulatih skuad senior, A Arul Selvaraj dan jurulatih skuad wanita, Nasihin Nubli Ibrahim yang terbabit dalam saingan kelayakan Olimpik, kontrak jurulatih lain akan berakhir pada 31 Disember 2023.
“Nasib ketua jurulatih skuad remaja, Muhammad Amin Rahim dan yang lain akan ditentukan oleh pengerusi kejurulatihan dan jawatankuasa pengurusan pasukan, sama ada mereka masih diperlukan,” kata Subahan.
Dia menambah : “Kami juga sedar bahawa kontrak Amin akan berakhir hujung tahun ini dan saya tidak akan mengarah sama ada mahu menyambung kontraknya atau pun mencari pengganti baru untuk mengetuai pasukan.”
“Saya sudah serahkan perkara mengenai proses keputusan kepada jawatankuasa terbabit selepas satu mesyuarat untuk melantik jawatankuasa tertentu.”