Impian Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan untuk sekurang-kurangnya menamatkan kempen Piala Negara-Negara 2024-25 di tempat kelima tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada Wales dalam aksi penentuan tempat kelima dan keenam di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.
Turun dengan misi memburu kedudukan kelima, skuad Speedy Tigers terlebih dahulu di depan harisl jaringan Syed Syafiq Syed Cholan yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-20.
Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga suku kedua berakhir walaupun kedua-dua pasukan memiliki peluang untuk menjaringkan gol.
Memasuki suku ketiga, Wales berjaya menemui gol penyamaan menerusi jaringan Rhys Bradshaw hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-42.
Tersentak dengan jaringan itu, skuad kendalian Sarjit Singh cuba bangkit memburu gol namun sebaliknya Wales sekali lagi merobek gawang Malaysia pada minit ke-50 menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan Gareth Furlong.
Skuad negara tidak berputus asa apabila terus mengasak benteng pertahanan Wales dan usaha itu membuahkan hasil apabila Fitri Saari berjaya meledak gol di penghujung permainan.
Namun, jaringan itu dibatalkan selepas pengadil membuat semakan video yang menunjukkan bola terkena kaki pemain negara sekali gus memberikan kemenangan kepada Wales.
Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Sarjit Singh menamatkan kejohanan di tempat keenam, dimana sebelum ini dinafikan kemaraan ke separuh akhir oleh Pakistan susulan perbezaan jumlah gol.
Tempat keenam itu bagaimanapun membaiki kedudukan edisi 2023-24 apabila pasukan negara meraih kedudukan ketujuh manakala kedudukan keempat pada edisi sulung kejohanan di Afrika Selatan, tiga tahun lalu kekal menjadi pencapaian terbaik buat skuad negara di kejohanan tersebut.