Speedy Tigers telah memberi segalanya pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024, sebelum tewas 2-3 kepada New Zealand di Ipoh petang ini.

Pujian harus diberikan kepada semua pemain skuad hoki lelaki negara yang menunjukkan semangat juang cukup tinggi sepanjang 60 minit permainan di hadapan hampir 5,000 penyokong Malaysia yang hadir memenuhi Stadium Azlan Shah.

Beraksi di laman sendiri, Speedy Tigers bermula garang dengan membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi gol padang oleh Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal apabila bijak menyudahkan hantaran lambung daripada Faizal Saari.

Jaringan dilakukan Azrai membolehkan dia mengumpul lapan gol keseluruhan sepanjang enam perlawanan di pentas PSAS edisi ke-30 sekali gus dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan.

Namun, kelebihan dimiliki Malaysia tidak bertahan lama, apabila New Zealand bangkit dengan dua gol menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan oleh Scott Cosslett dua minit kemudian dan Jonty Elmes (m-10).

Perlawanan lebih menarik pada suku kedua dan ketiga apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan ia menghiburkan penonton-penonton yang hadir, namun tiada sebarang gol dihasilkan.

Memasuki suku keempat, Malaysia melepaskan peluang untuk menyamakan kedudukan selepas Azrai gagal menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-39.

Sebaliknya, Black Sticks menggandakan jaringan menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan Dane Lett pada minit ke-48.

Tersentak dengan jaringan itu, Sarjit Singh menggunakan taktikal ‘power play’ dan ia membuahkan hasil untuk gol kedua pada minit ke-59 menerusi jaringan padang oleh Fitri Saari namun kebangkitan itu sudah terlewat untuk menyekat kemenangan New Zealand.

Ketua jurulatih negara, Sarjit Singh mengakui berpuas hati dengan kesungguhan dan semangat juang dipamerkan anak buahnya dalam perlawanan itu.

Jelasnya, kekalahan yang diterima juga tidak membuat beliau kecewa kerana ia merupakan proses pembentukan pasukan berkenaan.

“Kami bermula baik pada awal perlawanan tetapi kawalan mula longgar sehingga melepaskan dua gol untuk kedudukan 2-1 tetapi secara keseluruhan suku ketiga dan keempat kami menguasai permainan, pemain juga berjuang sehingga penghujung permainan.

“Sepanjang enam perlawanan di kejohanan ini, keseluruhan mereka bermain dengan baik dan ia adalah sebahagian daripada pengajaran buat kami.

“Ia (kegagalan penalti stroke) boleh berlaku kepada sesiapa tetapi dia (Azrai) telah menunjukkan permainan yang secukupnya. Macam saya cakap jika kita tidak memanfaatkan peluang, kita perlu menerimanya,” katanya.

Untuk rekod, dua pertemuan terakhir di Ipoh menyaksikan Malaysia menang 6-4 ke atas New Zealand pada pusingan round robin, Selasa lalu dan juga aksi persahabatan 3-2 menewaskan pasukan di ranking ke-10 dunia itu.

Dalam pada itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Stadium Azlan Shah bagi menyaksikan perlawanan Malaysia berdepan New Zealand.

Sementara itu, pengendali New Zealand, Greg Nicol berpuas hati dengan saingan diterima pasukannya sepanjang kejohanan ini.

“Satu pengalaman dan pengajaran menarik yang kami dapat di kejohanan ini. Ia sangat bagus untuk kami dalam persediaan ke Sukan Olimpik Paris.

“Satu kejohanan yang menakjubkan. Ya… kami tewas kepada Malaysia sebelum ini dan pemain bersemangat untuk turun memburu kemenangan.

“Ada beberapa pemain menunjukkan prestasi untuk di pilih ke Paris dan kita masih dalam proses pemilihan dengan 28 pemain keseluruhan akan dinilai. Seperti saya beritahu sebelum ini, selepas Piala Negara-negara (di Poland) kita akan menyenaraikan senarai terakhir,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa(FIH), Datuk Tayyab Ikram telah menyampaikan cederamata kepada Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal dan Presiden Persatuan Hoki Perak (PHP), Mohd Sayuti Abd Samad.

Tags: