En. Jadadish Chandra telah mengemukakan surat tuntutan ke atas akhbar terbitan rangkaian Media Prima iaitu Berita Harian ekoran menerbitkan artikel yang tidak benar pada Jumaat, 8 November 2019 bertajuk “Tangan Ghaib Padam Dua Nama” di halaman 68.
Surat tuntutan juga dikeluarkan kepada wartawan yang menulis artikel tersebut iaitu Naqib Nor Said dan Timbalan Presiden Persatuan Hoki Kedah (KHA), En. Satish Kumar yang memberikan komen di dalam artikel yang sama kerana membuat pertuduhan wujudnya “tangan ghaib” telah menukar borang pencalonan tersebut.
Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal amat berdukacita dengan terbitan artikel tersebut kerana turut menggunakan nama Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang dikatakan salah seorang mangsa namanya ditukar dalam pencalonan pemilihan Alhi Jawatankuasa KHM bari penggal 2019-2023.
“Saya begitu kesal dan terkilan kerana ada pihak tidak bertanggungjawab turut menggunakan nama Tengku Hassanal kerana kami di KHM memberikan sokongan sepenuhnya kepada Tengku Hassanal untuk menyertai keluarga KHM sebagai Timbalan Presiden.
“Pihak kami memandang serius apabila Institusi Diraja dikaitkan dalam perkara ini dan kami amat menjaga kedaulatan Institusi Diraja, jadi setiap perkara yang ingin dibangkitkan perlu mendapat pengesahan daripada institusi tersebut dan perkara itu biarlah perkara yang benar.
“Semua sedia maklum Tengku Hassanal amat disanjungi serta disayangi rakyat dan ketika di London baru-baru ini, Tengku Hassanal turut berkesempatan bertemu dengan pemain. Ketika itu juga saya turut memberitahu pemain bahawa Tengku Hassanal bakal Timbalan Presiden KHM yang baru.
“Jadi bagaimana seseorang yang amat kami alu-alukan untuk bersama kami di KHM boleh dikatakan menjadi mangsa namanya ditukar dalam borang pencalonan?,” jelas Dato Sri Subahan.