Jaringan tunggal Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal memastikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengekalkan status sebagai pendahulu hasil kemenangan 1-0 ke atas TNB Thunderbolts pada saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2022 (Premier) malam ini.
Kebuntuan jaringan pada suku pertama akhirnya dapat dilerai pada penghujung suku kedua apabila bola tindakan susulan Azrai Aizad Abu Kamal berjaya menembusi gawang TNB Thunderbolts menerusi jaringan daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-25.
TNB Thunderbolts menampilkan corak permainan baik dengan mengekang pergerakan TNB yang kini masih bertahan di kemuncak dengan 18 mata walaupun ditekan hebat Terengganu Hockey Team (THT) dengan ketinggalan hanya satu mata di belakang TNB.
THT pula tidak berdepan masalah menewaskan Nurinsafi Sporting, 5-0 dengan penyerang kebangsaan Faizal Saari dan Ismail Abu masing-masing menyumbang dua gol pada aksi tersebut.
THT, satu-satunya pasukan yang kekal dengan rekod tanpa kalah, bagaimanapun terpaksa menunggu hingga minit ke-17 sebelum Faizal Saari dapat menembusi pintu gol Nurinsafi Sporting dan Faizal sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-39.
Pemain berpengalaman Ismail Abu turut menjaringkan dua gol pada minit ke-27 dan 54 selepas Muhammad Marhan Mohd Jalil terlebih dahulu mencatat nama selaku penjaring hasil gol pada minit ke-24.
“Secara keseluruhan, pemain kami bermain dengan lebih efektif tetapi masih ada ruang perlu dibaiki, terutama menjelang pertemuan sukar dengan Maybank pada Isnin depan,” kata ketua pasukan Fitri Saari.
Dalam pada itu, perlawanan membabitkan UiTM HA dan National Development Team (NDT) berakhir selepas 47 minit perlawanan yang menyaksikan UiTM HA mencatat kemenangan 3-1 ke atas NDT.
Hujan lebat dan keadaan cuaca buruk di venue memaksa pegawai memberhentikan perlawanan pada pada minit ke-47. Selepas menunggu 30 minit dan keadaan cuaca buruk berterusan, perlawanan akhirnya ditamatkan dengan keputusan gol yang dijaringkan kekal menutup perlawanan.
Gol pembukaan UiTM HA hadir pada minit ke-22 hasil jaringan Zulpidaus Mizun. Berselang tiga minit kemudian, giliran Faridzul Afiq Mohd mencatat nama selaku penjaring sebelum Danial Asyraf Abdul Ghani melengkapkan gol kemenangan UiTM HA pada minti ke-33.