
KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) mendapat suntikan tambahan apabila menerima penajaan bernilai RM1 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Rabu.
Dana ini bertujuan membantu kos penganjuran menjelang kancah Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja (JWC 2023) yang bermula pada 5 sehingga 16 Disember ini di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Ketua Pegawai Global Business Solutions TNB, Ahmad Hushairi Ibrahim berkata utiliti elektrik terbesar di negara ini memainkan peranan utama dalam pembangunan permainan ini dari peringkat akar umbi sehingga ke peringkat kebangsaan.
Dia bercakap mewakili President TNB dan CEO, Datuk Seri Ir. Baharin Din yang tidak dapat hadir pada majlis penyampaian cek mock serta memperkenalkan reka bentuk baru jersi skuad kebangsaan dalam satu acara di Foyer Kelab Kilat pada Rabu.

“TNB, menerusi Program Pembangunan Thunderbolt sudah menaja kejohanan remaja dan program latihan antarabangsa bagi pasukan senior lelaki dan wanita ,” kata Hushairi.
“Terdapat 13 pemain dalam skuad kebangsaan remaja ketika ini yang adalah produk menerusi program pembangunan kami. Kami bangga dengan mereka dan mengucapkan selamat berjaya dalam Piala Dunia Remaja.
“Kami mahu mereka bermain dengan mantap dan membawa kejayaan untuk negara. Kalah atau menang adalah adat permainan tapi mereka harus bermain untuk mengilhamkan kemenangan dalam saingan mereka nanti,” tambahnya.
Beliau memberitahu ketua pasukan negara, Fariz Harizan dari SSTMI Thunderbolts adalah salah seorang daripada mereka yang berjaya menerusi program pembangunan ini.

Majlis penyerahan cek mock itu disaksikan oleh Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal, Ketua Pegawai Eksekutif MHC, S Nishel Kumar, Presiden Persatuan Hoki Perak, Datuk Mohd Sayuti Abdul Samat serta beberapa orang kenamaan yang lain.
“Pembabitan TNB dalam pembangunan permainan ini pada peringkat remaja kebangsaan bermula pada 2009. Kami adalah GLC dan Rakan Strategik Hoki serta penaja prinsipal MHC.
“Sejak 2021, TNB sudah menyumbang RM13 juta kepada pembangunan permainan ini, termasuk penganjuran kejohanan di peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan.
“Pada hari ini (Rabu) kami menaja RM1 juta ke arah penganjuran Piala Dunia Remaja. Kami komited sepenuhnya dalam usaha mencipta satu generasi yang sihat dan masyarakat aktif di bawah Program Pembangunan Thunderbolt TNB,” tambah Hushairi.
Sementara itu, Datuk Seri Subahan menghargai TNB menjadi rakan kerjasama dengan MHC sejak sekian lama. Ia bukan hanya menyaksikan pembangunan permainan ini di negara, malah kedua-dua pasukan kebangsaan lelaki dan wanita negara beraksi pada peringkat tertinggi dunia.

“Ucapan terima kasih daripada kami tidak cukup dengan kata-kata sahaja. Kami teruja dengan kerjasama bersama TNB dan mahu melihat perhubungan baik ini akan terus berkekalan.
Presiden MHC juga membuat rayuan kepada TNB agar dapat menawarkan peluang pekerjaan kepada kedua-dua pemain lelaki dan wanita dari pasukan remaja dan senior. Ini dapat membantu mereka dan keluarga mengatasi kepincangan dari segi kewangan.
“MHC menghargai segala usaha membantu pemain kami mendapatkan pekerjaan. Sesetengah daripada mereka sudah menerima ijazah dari universiti dan institusi pengajian tinggi yang lain.
“Kami juga sedang melakukan yang terbaik membantu pemain. MHC memperuntukan elaun tetapi jumlahnya tidaklah besar,” tambahnya.