
EMPAT gergasi – tiga dari benua Eropah dan satu Asia kini berdepan halangan paling besar untuk menggapai impian masing-masing – layak ke final dan menjulang trofi Piala Dunia Remaja, Sabtu ini.
Esok, juara enam kali, Jerman berentap dengan juara 2001, 2016 India, manakala Sepanyol membuat perhitungan dengan barisan menarik, Perancis dalam pentas saingan separuh akhir.
Ramalan lazimnya agak mudah di kejohanan ini, namun pada edisi ke-13 kali ini mungkin ramai tidak berani membuat pertaruhan ketika semua yang layak ada ramuan tersendiri untuk bergelar juara.
Dua pertarungan ini bakal menjadi tumpuan global yang harus menjanjikan satu lagi aksi bermutu tinggi buat menghiburkan peminat mereka.
Wakil dari Eropah dan Asia ini berjaya meloloskan diri ke kelompok empat terakhir selepas berhempas pulas merakamkam kemenangan masing-masing di peringkat suku akhir pada Selasa.
Tidak dinafikan ini perlawanan kelompok lapan terakhir yang paling menarik pernah disaksikan dalam tempoh terdekat ini dengan mutu permainan menyeluruh pada satu tahap tertinggi.
Semua ketua jurulatih yang memenangi perlawanan mereka – (Rein Van Eijk (Jerman), C R Kumar (India), Oriol Torras Puig (Sepanyol) dan Matthias Dierckens (Perancis) – akur betapa sukar halangan mereka, tambahan mengatasi lawan mereka dengan jaringan kecil.
Rata-rata apa yang didengar daripada mereka pada sidang media adalah: “Ini adalah pertarungan paling sengit kami hadapi setakat ini. Pasukan yang kalah (Australia, Argentina, Belanda dan Pakistan) kurang bernasib baik kerana mereka juga ada kemampuan untuk layak.”
Perlawanan tumpuan pastinya antara Jerman dan India yang bakal menyajikan satu aksi pertahanan dan serangan yang padu.
Jerman ada struktur permainan mereka sendiri yang lazimnya berpusat kepada kehebatan penjaga gol dan benteng kebal mereka. Serangan mereka daripada kedua-dua bahagian biasanya tepat dan memiliki kawalan bola hampir sempurna, khasnya apabila menembusi masuk ke kawasan D lawan.
India yang menewaskan pasukan pilihan Belanda 4-3 dalam suku akhir ada kecenderungan melakukan serangan pantas dan lawan sukar menjangkakan gempuran pantas yang tiba-tiba meledak dan mencemaskan.
“India adalah satu pasukan yang bijak. Jika anda leka dan anggap mereka tiada arah serangan, anda mungkin buat tafsiran salah. Mereka boleh hukum anda dengan satu serangan kilat dan menjaringkan gol. Momentum mereka selepas setiap jaringan juga bagus,” kata ketua jurulatih Belanda, Jesse Mahieu.
Satu lagi perlawanan separuh akhir yang juga harus menjelmakan segala intipati diperlukan adalah Sepanyol menentang Perancis.
Sepanyol tetap menjadi pilihan berpandu kepada jentera serangan yang licin dan menarik dengan jumlah gol tertinggi dijaringkan sepanjang empat perlawanan lalu, termasuk suku akhir.

Mereka menyumbat 23 gol dan juga barisan dengan gol terbanyak daripada pukulan sudut penalti iaitu 10. Tambahan mereka juga mendahului senarai penjaring dengan tujuh gol menerusi Pol Cabre Verdiell. Statistik ini mengerunkan akan menjadi bekalan mereka sekali lagi untuk satu lagi pertarungan yang boleh dianggap klasik nanti.
Lawan mereka, lebih bersikap merendah diri setiap kali menang. Perancis yang juga pemenang pingat gangsa pada edisi 2021 di Bhubaneswar, mengamalkan corak permainan Eropah yang efektif.
Skuad ini – antara pasukan hoki remaja paling maju di Eropah – ada muslihat mereka tersendiri dan yakin pada diri menghadapi setiap perlawanan. Mereka juga boleh membuat kejutan dalam kejohanan kali ini.
Semua empat pasukan ini jelas memiliki kualiti dan kekuatan tersendiri untuk menggegar Bukit Jalil dengan satu aksi yang mungkin kita sukar melupakan.
APA KATA MEREKA
JERMAN lwn INDIA
Rein Van Eijk (ketua jurulatih Jerman)
“India bukan satu halangan mudah. Mereka bijak dan satu pasukan yang sentiasa menekan. Saya jangkakan satu saingan sengit seperti dalam suku akhir. Kami mahu terus menyambung rentak sama ketika menentang Argentina dan fokus ketika ini objektif adalah mencari satu lagi keputusan positif.”
C R Kumar (ketua jurulatih India)
“Kami menghormati kemampuan milik Jerman. Mereka adalah satu pasukan yang cukup bagus dan bertarung dengan baik ketika atasi Argentina. Kami mungkin berdepan dengan kesulitan untuk memecah masuk kubu lawan tapi kemenangan ke atas Belanda setidak-tidaknya sudah memberi satu keyakinan untuk meniti ke arah kemenangan.”
Uttam Singh (ketua pasukan India)
“Saya mendapat satu insprasi baru selepas menjaringkan gol kemenangan ke atas Belanda. Ini bukan gol yang saya harus bangga kerana ini usaha semua rakan sepasukan untuk menang. Saya bertekad memimpin pasukan mencapai tahap tertinggi di kejohanan. Saya mahu kalungan pingat kejuaraan dan piala dimiliki nanti.”
SEPANYOL lwn PERANCIS
Oriol Torras Puig (ketua jurulatih Sepanyol)
“Pada tahap permainan ini, kesilapan-kesilapan kecil boleh membawa padah dan kami perlu fokus baik kerana Perancis bukan calang-calang pasukan. Apa pun, kami akan terus menyambung usaha baik bagi melepasi satu lagi halangan yang dijangka mencabar.”
Andreas Rafi (kapten Sepanyol)
“Apa yang bagus, pasukan kami mengekalkan ketenangan dan mantap dalam pertahanan ketika menentang Pakistan. Inilah sikap yang akan saya dan rakan sepasukan membawa ke perlawanan separuh akhir. Perancis pasukan liat tapi kami ada cara sendiri untuk bermain dan sudah bersedia.
Matthias Dierckens (ketua jurulatih Perancis)
“Fokus kami adalah kepada separuh akhir. Saya akui kami pasukan yang bijak dalam rancangan kami. Mentaliti untuk menang sentiasa wujud. Kami ada kemampuan untuk menewaskan mana-mana pasukan pada hari terbaik kami. Tapi kami juga akur Perancis bukan pasukan mudah menyerah. Mereka ada muslihat sendiri yang kami harus beri fokus.”