KEPUTUSAN
MALAYSIA……….0 ARGENTINA…….4
AUSTRALIA………7 CHILE………………1
IMPIAN penonton hadir melihat satu lagi ‘aksi lasak’ skuad negara tidak kesampaian, sebalik Argentina yang ceria merakamkan kemenangan 4-0 dalam saingan Kumpulan A, hari ini.
Empat gol masing-masing daripada Bautista Capurro minit ke-20, Marco Aguirregomez Corta (m28), Inaki Minadeo (m44) dan Juan Fernandez (m48) sudah cukup untuk pasukan pelawat itu menyalakan impian mereka . Kini, skuad bergelar ‘Little Lions’ itu sudah hampir pasti mengesahkan laluan ke suku akhir kejohanan.

Pemain Malaysia Kamaruddin Ahmad Suhaimi cuba mengejar dan merebut bola daripada pemain Argentina dalam saingan Kumpulan A malam ini. Argentina menang 4-0.

Anak didik Muhammad Amin Rahim gagal menjelmakan aksi sama ketika berpesta gol menewaskan Chile 7-1 pada Selasa (5 Disember). Kali ini rentak persembahan mereka di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil agak terumbang ambing dengan hanya sesekali menunjukkan ketajaman dan kelajuan serangan.
Argentina mengulangi aksi mantap sama ketika menewaskan Australia 1-0 dan segala-galanya hari ini memihak mereka dengan pertahanan yang mantap dan serangan balas kemas dan efektif.
Malaysia kini hanya ada satu lagi halangan iaitu menentang Australia dalam perlawanan terakhir kumpulan. Mesejnya jelas, mereka wajib menang. Hanya pemain muda negara dan Amin Rahim dapat menjawab persoalan ini kepada penonton setia mereka Jumaat ini.

APA KATA MEREKA

Muhammad Amin Rahim (ketua jurulatih Malaysia)
“Kami hilang fokus dan juga hilang struktur permainan. Tapi ada ketika kita berjaya menandingi Argentina dan mengimbangi setiap bahagian. Cuma selepas gol pertama Argentina, semuanya mula berubah.
Kita ada satu lagi perlawanan menentang Australia. Pemain sudah tahu apa kesilapan pada hari ini dan saya percaya mereka mengerti apakah ramuan diperlukan bagi perlawanan Jumaat ini.
Kita wajib menang tanpa pilihan kalau mahu layak ke suku akhir. Kita ada 60 minit lagi untuk memberikan yang terbaik.”
Juan Gilardi (ketua jurulatih Argentina)

“Pada awal permainan, kami mendapati sukar memecah masuk dalam benteng Malaysia kerana tuan rumah juga memberi tekanan dan laju bergerak.

Tapi selepas kami menjaringkan gol pertama, baru kami menemui rentak dan mula kembali mendapat sentuhan.
Kami juga gembira tidak melepaskan sebarang gol selepas dua perlawanan. Saya juga bercadang merehatkan beberapa pemain untuk perlawanan menentang Chile nanti.”
Sementara itu, Australia menebus detik kecewa kalah kepada Argentina tempoh hari dengan menjadikan Chile sebagai mangsa pembelasahan, hari ini.
Juara edisi 1997 itu menewaskan lawan dari Amerika Latin itu 7-1 dalam saingan Kumpulan A untuk kembali semula ke landasan kemenangan.
Skuad Burras itu akan melengkapkan jadual perlawanan menentang tuan rumah, Malaysia Jumaat ini untuk mengesahkan kemaraan ke suku akhir kejohanan edisi ke-13 kali ini.

Pemain Australia Cambell Geddes memeluk rakan sepasukan selepas menjaringkan gol ketika menentang Chile hari ini. Australia menang 7.1

Bagi Chile, impian untuk mara jauh berakhir selepas menempah kekalahan kedua berturut-turut. Pada Selasa, Malaysia juga membelasah mereka, 7-1.
Australia mengesahkan mata penuh menerusi sumbangan Cooper Burns, minit ke-11, Brodee Foster (m17) dan jaringan hatrik daripada Craig Marais (m20, 52, 53). Gol lain adalah daripada Cambell Geddes (m30) dan Will Mathison (m47). Gol tunggal Chile adalah jaringan ketua pasukan, Joaquin Munoz pada minit ke-14.
APA KATA MEREKA
Jay Stacy (ketua jurulatih Australia)
“Pemain saya memberi persembahan lebih baik pada hari ini dengan penguasaan mantap. Struktur pasukan pun nampak lebih kemas . Chile agak kekurangan pengalaman tapi mereka tetap liat.

Kini, kami menghala fokus kepada perlawanan penting menentang Malaysia Jumaat ini. Pemain tuan rumah sudah menampakkan kemajuan dan memiliki kemahiran baik. Kami akan hadir dengan satu rancangan tersendiri dan meningkakan kemajuan untuk memenangi perlawanan.

Matias Amoroso (ketua jurulatih Chile)

“Kami kalah lagi tapi saya perlu menyebut saya bangga dengan persembahan ditunjukkan mereka hari ini yang memberi cabaran kepada Australia. Kami akur lawan hebat dan cuba memberi sesuatu kelainan dalam permainan.

Perlawanan terakhir kumpulan menentang Argentina nanti pasti dapat memberi kami pendedahan tambahan apabila bersedia untuk perlawanan klasifikasi