
KEPUTUSAN
MALAYSIA 7 CHILE 1
INDIA 4 KOREA SELATAN 2
SKUAD muda negara menjelmakan satu perwatakan padu yang jarang disaksikan apabila mencetus ceria buat penyokong setia mereka dengan membaham Chile 7-1, hari ini.
Tiada siapa pun menjangkakan keputusan seperti ini dalam saingan Kumpulan A di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, tetapi itulah realitinya apabila barisan Young Tigers turun ‘bagai dirasuk’ dengan menjadikan lawan itu mangsa pertama mereka.
Jaringan ‘pesta gol’ ini harus memberi tonik baru kepada pasukan tuan rumah apabila turun ke gelanggang menentang juara bertahan, Argentina, esok (6 Disember) yang turut melakar kemenangan tipis, 1-0 ke atas Australia dalam perlawanan awal kumpulan sama.
Kehadiran Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menyemarakkan semangat kesebelasan pasukan negara yang berjuang habis-habisan tanpa mahu mengecewakan peminat tempatan di laman sendiri.
Anak didik Muhamamd Amin Rahim bermain kemas untuk mendahului 2-0 pada babak pertama dengan kedua-dua gol menyusul daripada pukulan sudut penalti menerusi Harris Osman dan Muhamad Danish Aiman pada minit ke-13 dan 23.
Selepas rehat, Chile kembali mengimbangi saingan dan berjaya merapatkan jurang menerusi Sebastian Wolansky pada minit ke-34. Namun, selepas itu segala-galanya memihak kepada tuan rumah yang menguasai penuh baki permainan dengan ledakan lima lagi gol.
Ia bermula dengan Andywalfian Jeffrynus (m36), Azmil Muizzudin Misron (m-39) dan Shamir Shamsul (m41) sebelum Shahmie Ifran Suhaimi menyumbat dua gol ,termasuk penalti strok pada minit ke-47 dan 55 untuk diumumkan Pemain Terbaik Perlawanan.
APA KATA MEREKA
Muhammad Amin Rahim (Ketua jurulatih Malaysia)
“Secara keseluruhan ini satu persembahan amat terpuji disajikan pemain kita. Ini menunjukkan kesungguhan setiap pemain untuk memberi satu kelainan kepada penonton dalam permainan mereka.
Jaringan pukulan sudut penalti dan padang menjadi hari ini. Dua elemen ini memang diharapkan sebelum perlawanan dan ia menjadi kenyataan. Tahniah kepada setiap pemain kita.
Esok kita bertemu Argentina dan tidak boleh leka. Mereka adalah juara bertahan. Saya juga gembira dengan rentak konsisten pasukan dan usaha harus digandakan lagi untuk mencari sesuatu positif apabila menentang Argentina.
Matias Amoroso (Ketua jurulatih Chile)
“Kami bermain agak bagus pada babak pertama tetapi selepas rehat rentaknya berubah dan Malaysia bermain cukup pantas. Keletihan juga dirasai pemain kami.
“ Punca kekalahan juga kerana kami hilang bola secara kerap dan sukar untuk membendung asakan pantas pasukan tuan rumah. Kita kena bangkit apabila bertemu Australia esok (Rabu).”

Sementara itu, bekas juara, India merakamkan kemenangan 4-2 ke atas Korea Selatan bagi memulakan kempen mereka dengan nota gembira dalam saingan Kumpulan C, hari ini.
Pemain penyerang, Araijeet Singh Hundal merakamkan jaringan hatrik pertama kejohanan pada minit ke-11,16 dan 41 manakala Amandeep menyumbat satu lagi gol minit ke-30.
Ketinggalan 0-3, Korea Selatan bangkit memberi cabaran , namun usaha itu tidak mencukupi untuk mengubah situasi mereka. Cuma dua gol daripada Lim Dohyun pada minit ke-38 dan Kim Minkwon (m45) memberi sedikit penawar kepada pasukan.
Dalam perlawanan berikut India akan menentang Sepanyol manakala Korea Selatan berdepan Kanada pada Khamis ini.
APA KATA MEREKA
C. R. Kumar (ketua jurulatih India)
Kami gembira mengutip tiga mata dalam perlawanan pertama. Ini yang amat kami mencari kerana mengerti perlawanan pertama lazimnya menyulitkan.