Hero Piala Asia 2017: Empat tonggak Malaysian Tigers terlepas aksi di Dhaka

Kecederaan yang dialami oleh tiga tonggak utama Malaysian Tigers, Mohamad Izad Hakimi Jamaluddin, Meor Muhamad Azuan Hasan dan Muhammad Firhan Ashari menyaksikan mereka terlepas peluang untuk membantu skuad negara pada kejohanan Hero Piala Asia 2017 di Dhaka Bangladesh bermula 11 hingga 22 Oktober ini.

Sidang media yang berlangsung hari ini di pejabat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bagi mengumumkan 18 pemain ke Dhaka Bangladesh juga menyaksikan jurulatih negara, Stephen van Huizen mengumumkan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dipinjamkan ke skuad Piala Sultan Johor 2017 sekaligus terlepas aksi Piala Asia 2017.

Berdasarkan 18 nama yang diumumkan hari ini, empat pemain yang tidak beraksi di Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, London pada Jun lalu, iaitu Joel Samuel Van Huizen, Muhamad Ramadan Rosli, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan dan Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad mendapat kepercayaan Stephen untuk beraksi di Piala Asia 2017.

Stephen juga turut menyangkal pandangan bahawa Malaysia tidak memandang serius kejohanan ini kerana telah layak ke Piala Dunia 2018.

Jelas Stephen: “Kejohanan Piala Asia sangat penting untuk kami kerana ia akan membantu untuk menaikkan ranking pasukan selain ia penting untuk kami mengekalkan prestasi terbaik dan peningkatan yang telah kami tunjukkan.

“Perlawanan Piala Asia tidak akan semudah yang disangka dan kami menjangkakan persaingan yang hebat akan diberikan oleh pasukan yang bersaing dan kejohanan ini akan menjanjikan persaingan yang cukup hebat,” ujarnya ketika sidang media berlangsung.

Dalam pada itu, KHM turut memperkenalkan Muhammad Amin Rahim selaku pembantu jurulatih yang akan bekerjasama dengan pembantu jurulatih negara, Lim Chiow Chuan bagi kejohanan ini sebagai pendedahan kepada Amin untuk memperkembangkan lagi kerjaya kejurulatihannya.

Amin yang turut berada di siding media berkenaan menyahut baik kepercayaan yang diberikan oleh KHM dan akan menggunakan kepercayaan yang diberikan kepadanya dengan sebaik mungkin.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada KHM kerana memberi peluang ini di mana bagi saya ia merupakan peluang keemasan untuk saya memperkembangkan kerjaya sebagai jurulatih dan Ini merupakan langkah pertama untuk saya membantu skuad kebangsaan,” jelas Amin.

Skuad lelaki negara akan berlepas ke Dhaka pada Ahad ini (8 Oktober 2017) jam 8 malam di KLIA sebelum menjalani perlawanan persahabatan pada Isnin (9 Oktober 2017) bertemu Jepun.

Berikut merupakan senarai nama 18 pemain ke Hero Piala Asia 2017, Dhaka Bangladesh.
1. Kumar A/L Subramiam
2. Muhammad Hafizuddin B. Othman
3. Muhammad Razie B. Abd Rahim
4. Muhammad Sukri B. Abdul Mutalib
5. Muhammad Najmi Farizal B. Jazlan
6. Faiz Helmi B. Jali
7. Syed Mohamad Syafiq B. Syed Cholan
8. Muhammad Azri B. Hassan
9. Mohd Marhan B. Mohd Jalil
10. Mohd Fitri B. Saari
11. Nabil Fiqri B. Mohd Noor
12. Joel Samuel Van Huizen
13. Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad
14. Muhammad Haziq B. Samsul
15. Muhammad Ramadan B. Rosli
16. Muhammad Shahril B. Saabah
17. Tengku Ahmad Tajuddin B. Tengku Abd Jalil
18. Faizal Saari

Recent Posts

Leave a Comment