Skuad Hoki Wanita Kebangsaan mahu memastikan siri jelajah di China digunakan sebaiknya sebagai medan membentuk kombinasi mantap menjelang persiapan Piala Negara-Negara 2 yang dijadualkan berlangsung pada 16 hingga 22 Jun depan di Walcz, Poland.
Malaysia Tigress berlepas ke China pada 5 Mei (Isnin), bagi mengharungi tujuh perlawanan persahabatan yang telah diatur berdepan Liaoning Province, selain sesi latihan yang telah dirangka oleh barisan kejurulatihan.
Perlawanan persahabatan pertama akan berlangsung pada 7 Mei, disusuli 8 Mei dan seterusnya pada 10 dan 11 Mei, diikuti 13 serta 15 Mei dan menutup siri jelajah itu pada 17 Mei sebelum pulang ke tanah air keesokannya.
Seramai 23 pemain akan dipersiapkan oleh barisan kejurulatihan yang diketuai Mohd Nasihin Nubli Ibrahim. Beliau mengingatkan para pemain agar memberi komitmen terbaik dan membuktikan mengapa mereka layak untuk berada dalam pasukan ini.
Katanya, Jelajah China adalah tugasan antarabangsa kedua pada tahun ini selepas siri perlawanan persahabatan berdepan Afrika Selatan pada Februari lalu.
“Ini adalah tugasan antarabangsa kedua bagi tahun 2025, selepas siri perlawanan persahabatan menentang Afrika Selatan pada akhir Februari lalu. Bagi saya, bukan soal menang kalah semata-mata, tapi saya mahu melihat komitmen dan kesungguhan semua.
“Pemain yang dipilih perlu tunjukkan mereka sememangnya layak untuk ke Nations Cup 2 nanti. Ini bukan jelajah suka-suka, ini peluang para pemain untuk buktikan kemampuan mereka. Harapan kami adalah ingin melihat semangat juang tinggi, bagaimana pemain cepat menyesuaikan diri dalam perlawanan dan jangan takut untuk membuat kesilapan, namun mereka perlu cepat belajar daripada kesilapan tersebut.
“Kami mahu melihat bagaimana pasukan memberikan tindak balas dengan lawan yang pantas, agresif dan mempunyai teknikal permainan yang tinggi. Pasukan Wanita Liaoning merupakan pasukan yang kuat dan mereka turut dibarisi oleh pemain remaja kebangsaan.
“Mereka juga dalam persiapan terakhir untuk Kejohanan domestik China. Fokus kami adalah ingin melihat pemain membuat keputusan pantas bila berada dalam tekanan, struktur bertahan bila diserang bertali-arus dan juga reaksi mental serta fizikal apabila terpaksa bermain perlawanan back-to-back, “kata Mohd Nasihin.
Bekas pemain kebangsaan, Mohd Nasihin mengakui aspek taktikal menjadi keutamaan pada siri jelajah ini dan berharap pemain-pemain muda cepat belajar serta menimba pengalaman di China sebanyak mungkin.
“Kami mahu melihat pemain muda berani untuk ke hadapan apabila bertemu lawan daripada pasukan yang lebih matang.
“Siri ini sangat penting sebelum Nations Cup 2 di Poland. Kami akan menguji taktikal (high press, build-up, pukulan sudut penalti), mencari kombinasi pemain terbaik dan memantau tahap kecergasan dan ketahanan pemain.
“Bagi saya, ini peluang untuk lihat siapa yang betul-betul bersedia bukan sahaja dari segi kemahiran, tapi juga disiplin dan kefahaman terhadap falsafah permainan kita,” jelasnya.
Berikut merupakan senarai 23 pemain yang dipilih bagi menyertai Siri Jelajah China
PENJAGA GOL
Siti Zalia Binti Nasir
Nur Hazlinda Binti Zainal Abidin
Fitrinur Amiera Binti Ramlee
PERTAHANAN
Juliani Binti Mohamad Din
Nurul Fatin Fatiah Binti Azman
Khairunnisa Ayuni Binti Mohd Sharuddin
Dayang Nuramirah Binti Abang Mahadini
Anith Humaira Binti Baharudin
Nur Aisyah Binti Che Musa
Zawiatul Akma Binti Hartomo
Nur Syahirah Binti Azwan
TENGAH
Nurmaizatul Hanim Syafi Binti Shiek Fuad
Siti Nur Arfah Binti Mohd Nor
Nur Insyirah Binti Effarizal
Nur Nabila Alia Binti Yussaini
Siti Nur Atika Binti Shaikh Maznan
Siti Nur Irdina Binti Mohd Nor
Nur Shamine Azureen Binti Mohammad Badusha
PENYERANG
Nur Afiqah Syahzani Binti Azhar
Azmyra Mia Sofea Binti Azhari
Siti Zulaikha Binti Husain
Zati Alyani Binti Muhammad Zubir
Fatin Shafika Binti Mahd Sukri
Berikut merupakan jadual perlawanan persahabatan Malaysian Tigress di Jelajah China
Venue : STADIUM HOKI GONGSHU
Lawan : LIAONING PROVINCE
Jumalah Perlawanan : 7
Masa : 4:00 Petang (Waktu di Guangzhou, Guangdong, China, adalah sama waktu Malaysia.)
7/5/2025 – Rabu
8/5/2025 – Khamis
10/5/2025 – Sabtu
11/5/2025 – Ahad
13/5/2025 – Selasa
15/5/2025 – Khamis
17/5/2025 – Sabtu