Selangor Bolot Kejuaraan Hoki Sekolah Kebangsaan Tamil

Selangor gah tampil selaku juara berganda apabila mengungguli kategori lelaki dan perempuan Bawah 12 Tahun di Kejohanan Hoki Kebangsaan Sekolah-sekolah Tamil-MHC-QNET 2024 dengan aksi yang memukau.

Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil menjadi saksi pada hari ini betapa hebat kelancaran kejohanan dua hari ini dan juga kemunculan segenggam bakat penuh berpotensi untuk diketengahkan ke saingan sekolah peringkat kebangsaan pada edisi ke-2 kali ini.

Skuad lelaki Selangor Star dengan bekalan pemain yang hampir mantap pada setiap posisi, tidak banyak mengerah tenaga apabila bersahaja menumpaskan Pulau Pinang Pumas 3-0 dalam perlawanan akhir yang rancak.

Hampir 30 minit sebelum itu, skuad perempuan Selangor turut mencipta nama apabila berhempas pulas sebelum dapat menewaskan Negeri Sembilan Whizz 3-2 menerusi penentuan ‘sudden-death’ selepas penalti shoot-out terikat 2-2.

Pemain yang muncul wirawati pasukan adalah R Harshini yang juga difahamkan pemain negeri yang mewakili Selangor di Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia bagi kategori B-12.

Bagi kategori lelaki, ia bagai ulangan final seperti edisi pertama di Johor Bahru, tahun lalu apabila Selangor menewaskan lawan sama, juga kebetulan dengan angka jaringan sama di Stadium Hoki Daya.

Jelas, kejohanan kali ini seperti menjadi milik pemain sensasi, N Santosh yang digelar ‘Wonder-Rocket’. Tidak dinafikan, dia adalah ayam tambatan pasukan kali ini yang bukan sahaja menjadi perancang dengan kelincahan kawalan bola menarik tetapi kemampuan untuk menjadi peledak yang menjadi igauan pihak lawan.

Kelibatnya menyaksikan murid SKJ (T) Ladang Rinching, Semenyih itu bukan sahaja muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan ledakan 19 gol, malah diumumkan Pemain Terbaik Kejohanan selepas menjadi tarikan penonton, termasuk ibu bapa yang hadir memberi sokongan kepada anak-anak mereka di gelanggang saingan.

Apa pun, rakan sepasukan Santosh yang juga tonggak pertahanan, S Shamalan turut menyinar dengan gol pertama hasil pukulan sudut penalti seawal minit ke-5 dengan rembatan padu.

Jaringannya itu turut menarik perhatian Presiden Kondeferasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal yang melabelkan pemain tinggi lampai itu sebagai ‘K Embaraj’ untuk masa depan skuad negara.

Embaraj adalah pakar pukulan sudut penalti tersohor dengan rembatan padu digeruni lawan satu ketika dulu apabila beraksi untuk skuad negara pada era 90-an.

Selain diwakili 13 pemain dari SKJT Ladang Rinching, dua lagi angota pasukan hadir dari SKJT Kajang dan SKJT Sungai Buaya.

Jurulatih pasukan, S Kaalitash, menghambur pujian kepada keringat setiap pemain, termasuk skuad perempuan yang mencipta bangga kepada sekolah mereka.

“Mereka bukan saja menunjukkan komitmen tetapi semangat sepasukan untuk memastikan kejayaan. Mereka semua gembira pada saat ini dan kami memberi mereka jamuan makan malam menyambut kemenangan besar ini.

“Tidak ada apa-apa lagi mengenai bentuk ganjaran untuk mereka tapi saya percaya kami akan memberi mereka set jersi yang baru, termasuk keperluan alat permainan sebagai menghargai jasa mereka,” katanya.

 

Selain Subahan, turut hadir pada majlis penyampaian hadiah adalah Pengarah Urusan Kumpulan QNET, Kuna Senathirajah yang menjadi penaja utama kejohanan kali ini selain Presiden Hoki Selangor, Ganesan Shanmugam dan Presiden Kelab Hoki Impact Johor, Dominig Savarimuthu serta beberapa kenamaan lain.

Ganesan juga dijemput memberi hadiah Anugerah Khas kedua-dua kategori lelaki dan perempuan bagi Fair Play Pasukan manakala bekas bintang skuad negara, S Kuhan juga hadir menyampaikan anugerah kepada Pemain Terbaik kejohanan.

Bagi Penjaga Gol Terbaik, penghormatan itu diberikan kepada bekas penjaga gawang utama negara, S Kumar, manakala Penjaring Terbanyak oleh Ketua Pegawai Eksekutif MHC, S Nishel Kumar, seorang bekas pemain kebangsaaan juga.

Sejumlah 12 pasukan lelaki dan empat perempuan beramai 300 pemain beraksi bagi saingan B-12 pada edisi kali ini. Pasukan negeri terbabit adalah Johor, Pulau Pinang, Pahang, Perak, Kedah, N Sembilan dan Selangor.