Legenda hoki Pakistan, Sohail Abbas berharap pelantikannya selaku penolong jurulatih Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan yang berkuat kuasa hari ini dapat membantu meningkatkan pembangunan pemain yang berada di dalam Speedy Tigers.
Beliau berkata, komitmennya kepada Speedy Tigers ialah 200 peratus dan beliau berjanji hanya yang terbaik akan dicurahkan untuk Malaysia.
“Saya pernah merantau di seluruh dunia khususnya di Jerman dan Belanda, pernah melatih ramai pemain di Eropah juga.
“Saya menganggap Malaysia sebagai rumah kedua kerana negara ini cukup dekat dihati saya terutama stadium ini (Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil).
“Saya pernah menjaringkan gol dan mencipta hatrik di laman ini, malah, saya juga pernah ditimpa kecederaan sehingga terpaksa diusung keluar di padang ini, jadi, saya punya pengalaman manis di sini,” katanya pada sidang media pelantikan beliau sebagai penolong jurulatih Speedy Tigers di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Dato’ Sri Subahan Kamal mengumumkan pemegang rekod dunia penjaring terbanyak itu telah menandatangani kontrak selama setahun bersama Speedy Tigers.
Sohail, 49, yang pernah beraksi bersama sebuah kelab hoki di negara ini memberitahu, beliau mahu membantu membangunkan bakat pemain-pemain muda di negara ini.
Jelasnya, sepanjang bergelar pemain dan kini jurulatih, beliau melihat hoki di pentas antarabangsa telah banyak berubah tidak kira dari segi corak permainan mahupun garis panduan sukan tersebut.
“Saya juga melihat begitu banyak pasukan Asia seperti Jepun, China, Malaysia, Pakistan dan India berkembang dengan cukup baik.
“Walaupun kita berdepan dengan kuasa besar Eropah tetapi saya sentiasa percaya hoki di Asia masih memiliki keistimewaan yang tiada ada kepada pasukan benua itu,” ujarnya.
Justeru, beliau percaya sekiranya dapat digabungkan ramuan antara Eropah dan Asia, maka, akan terbentuk satu permainan yang luar biasa jika ia dapat diterapkan dengan baik.
“Saya mahu melihat Malaysia bermain sehebat itu dan setiap pasukan sudah tentu mempunyai sasaran, tetapi, bagi saya semakin hampir kita kepada sasaran yang dikejar, kita perlu menaikkan sasaran itu lebih tinggi agar hanya yang terbaik dapat dijelmakan,” jelas Sohail.