TNB MHL 2025: Piala Sumbangsih Jadi Buruan TNB

Juara bertahan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhajat menjadikan Piala Sumbangsih sebagai buruan pertama kelab itu dalam misi mempertahankan gelaran treble yang dicatat mereka musim lalu, menjelang perlawanan pembukaan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu ini.

 

TNB yang masih diterajui bekas pemain kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin sekali lagi akan berdepan naib juara MHL musim lalu, Terengganu Hockey Team (THT) yang dibimbing Mohd Hafizi Baharom.

 

Nor Saiful berkata, TNB akan berusaha mengekalkan pencapaian lalu iaitu menyapu kesemua trofi yang ditawarkan musim ini dengan Piala Sumbangsih sebagai gelaran pertama yang mahu mereka kekalkan di dalam koleksi piala kelab tersebut.

 

"Sudah tentu kita mahu memberikan persembahan terbaik, tetapi, dalam masa sama kami juga sedar untuk mempertahankan kejayaan yang telah kami catat pada musim lepas bukan satu tugas mudah.

 

"Pasukan lawan sudah tentu mengintai peluang untuk menewaskan kami dan penting untuk para pemain mempamerkan persembahan sempurna dan kurangkan kesilapan ketika berada di dalam padang," katanya pada sidang media menjelang Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

 

Bekas pemain kebangsaan itu juga menjangkakan satu persaingan sengit bakal berlangsung pada musim ini, lebih-lebih lagi dengan kehadiran pasukan luar yang turut memeriahkan TNB MHL 2025.

 

"Kami masih mengekalkan wajah-wajah lama dengan lapan pemain kebangsaan berada di dalam skuad kami dan pemain Korea Selatan, Jong Jung Hyun masih setia bersama TNB," ujarnya.

 

Menurutnya, walaupun bukan mudah untuk mempertahankan pencapaian musim lalu, tetapi, TNB berjanji hanya aksi terbaik yang bakal dipamerkan para pemainnya.

 

Beliau menjelaskan, cabaran pada tahun ini bukan sahaja hadir daripada pasukan tempatan, malah, kelab luar dari China dan Australia juga memeriahkan TNB MHL 2025.

 

"Bagi saya perkembangan tahun ini amat memberangsangkan, usaha yang diberikan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengundang kelab-kelab luar merupakan satu insiatif baik yang diyakini mampu meningkatkan kualiti liga itu sendiri dan dalam masa sama pemain kebangsaan turut menerima manfaat tersebut," ujarnya.

 

Tahun ini, dua kelab luar iaitu Lioning Hockey Team dari China dan kelab Australia, Territory Stingers telahpun mengesahkan penyertaan mereka di TNB MHL 2025.

 

Selain itu, satu lagi pasukan pendatang baharu, Kelab Hoki Matador yang menggabungkan pemain senior dan junior Pakistan serta beberapa bekas pemain Malaysia akan turut menyerikan divisyen premier tersebut.

 

Sementara itu, jurulatih THT, Mohd Hafizi Baharom pula berkata, para pemainnya masih mengingati kekecewaan musim lalu, apabila gelaran liga terlepas daripada genggaman mereka.

 

"Hanya sikit yang memisahkan kami dengan gelaran pada tahun lalu, jadi, tahun ini kami lebih bersemangat untuk memburu kejuaraan dengan Piala Sumbangsih sebagai permulaan THT," katanya.