Malaysia Ke Final Selepas Atasi Itali

Sikap tidak mudah mengalah skuad hoki wanita negara berjaya membawa pasukan itu melangkah ke pentas akhir Liga Hoki Dunia Wanita Pusingan Kedua selepas menumpaskan Itali di Stadium Hoki Tun Razak sebentar tadi.

Malaysian Tigress menang menerusi penalti shoot-out 2-1 selepas terikat 2-2 dalam tempoh 60 minit perlawanan. Keputusan mara ke final juga secara automatiknya melayakkan Malaysia untuk beraksi dalam Liga Hoki Dunia Wanita Peringkat Separuh Akhir di Belgium atau Afrika Selatan selepas ini.

Pasukan negara bermula baik dan memperoleh pukulan sudut penalti yang pertama pada minit ke-7. Namun ianya gagal diterjemahkan dalam bentuk gol untuk pasukan Malaysia. Sebaliknya, Itali terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-9 melalui gol padang selepas pemainnya, Maria Garraffo yang hanya berdepan Farah Ayuni berjaya menolak masuk gol pertama untuk pasukannya.

Tidak mudah mengalah, skuad wanita negara mengatur beberapa gerakan untuk bangkit dan mereka memperoleh satu lagi pukulan sudut penalti pada minit ke-13. Hasil daripada pukulan sudut penalti itu, Malaysia berjaya menyamakan kedudukan apabila Fazilla Sylvester Silin menolak kencang bola ke sebelah kanan gawang gol Itali sekaligus menyamakan kedudukan kepada 1-1.

Pasukan Itali yang berada di ranking ke-15 dunia memperoleh gol kedua, kali ini menerusi pukulan sudut penalti daripada Agata Wybieralska pada minit ke-18. Dia menolak kencang bola untuk mengelirukan penjaga gol Malaysia sekaligus membolehkan pasukan Itali mendahului 2-1.

Malaysian Tigress yang mendapat sokongan padu daripada penyokong berjaya bangkit sekali lagi untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-26. Gol itu hadir selepas bola hantaran daripada Fazilla Sylvester Silin gagal dikeluarkan pertahanan Itali dan Hanis Nadiah Onn berjaya menolak masuk gol penyamaan 2-2 untuk pasukan negara. Kedudukan seri itu kekal sehingga separuh masa pertama tamat.

Bermula babak kedua, Malaysia hampir-hampir mendapat gol ketiga namun pukulan Wan Norfaiezah sedikit sahaja tersasar. Begitu juga Itali yang memperoleh beberapa peluang keemasan namun ketangkasan Farah Ayuni berjaya menafikan percubaan bahaya pasukan itu.

Perlawanan terus berlangsung menarik dengan aksi serang menyerang dipentaskan oleh kedua-dua pasukan selepas itu. Dalam suku terakhir perlawanan, Itali memperoleh peluang terbaik apabila dihadiahkan pukulan sudut penalti seminit sebelum perlawanan tamat namun mereka gagal menyudahkannya sekaligus keputusan 2-2 mengheret perlawanan ke penentuan penalti shoot-out.

Dalam penentuan penalti shoot-out, sekali lagi ia berlangsung dengan penuh mendebarkan. Daripada lima pukulan kesemuanya, hanya pada pukulan keempat iaitu menerusi Dalila Mirabella untuk Itali dan Fatin Shafika untuk Malaysia yang berjaya menjaringkan gol.

Penalti shoot-out sudden death selepas itu menyaksikan Fatin Shafika muncul wira negara apabila sekali lagi berjaya menyudahkan gol kemenangan untuk pasukan negara selepas pemain Itali, Valentina Braconi gagal menjaringkan gol sekaligus membawa pasukan negara ke pentas final bertemu Ireland esok.

Satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung pada sebelah petang tadi, Ireland terlebih dahulu menempatkan diri ke final setelah mengatasi Wales 2-0. Kedua-dua gol penting pasukan Ireland hadir tiga minit sebelum separuh masa pertama berakhir.

Gol pertama Ireland yang merupakan pasukan di ranking ke-16 dunia diperoleh menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-27 melalui Yvonne O’Byrne. Selang satu minit selepas itu, Ireland mendapat gol kedua yang juga gol kemenangan melalui gol padang yang dihasilkan pemain berjersi 26, Anna Oflanagan menerusi satu pukulan deras menewaskan penjaga gol Wales, Rose Thomas.

 

Keputusan Separuh Akhir:

Malaysia 2-2 Itali, Malaysia menang penalti shoot-out 2-1

Ireland 2-0 Wales

 

Jadual Esok:

1.45PM 7/8: Hong Kong lwn Kazakhstan

4.00PM 5/6: Singapura lwn Thailand

6.15PM 3/4: Wales lwn Itali

8.30PM FINAL: Ireland lwn Malaysia

Recent Posts

Leave a Comment