Semangat juang luar biasa Skuad hoki remaja lelaki kebangsaan menyaksikan mereka mengesahkan kemaraan ke final Piala Sultan Johor 2026 selepas menewaskan Pakistan 3-2 dalam aksi ketiga pusingan liga di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, hari ini.
Lebih manis, kejayaan itu menyaksikan Young Tigers kembali ke pentas final Piala Sultan Johor selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2013, sekali gus menamatkan penantian selama 13 tahun untuk kembali bersaing merebut kejuaraan kejohanan antarabangsa bawah 21 tahun itu.
Malaysia terpaksa bekerja keras untuk memastikan kemenangan apabila Pakistan bangkit daripada ketinggalan sebelum mendahului 2-1 pada suku ketiga. Namun, keazaman tinggi anak buah Norsaiful Zaini membuahkan hasil apabila dua gol dalam tempoh tiga minit terakhir memastikan tiga mata penuh menjadi milik Malaysia.
Penyerang negara, Naaveennash Paniker S Thevendra, muncul watak utama dengan meledak dua gol pada minit, sekali gus dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan. Malaysia bermula dengan baik apabila Naaveennash membuka tirai jaringan pada minit ke-21 untuk memberikan kelebihan awal kepada skuad negara.
Bagaimanapun, Pakistan bangkit pada suku ketiga menerusi dua jaringan Adeel pada minit ke-36 dan ke-43 untuk mengubah kedudukan kepada 2-1, sekali gus meletakkan Malaysia dalam situasi ketinggalan.
Enggan mengalah, Young Tigers meningkatkan asakan pada suku terakhir dan usaha itu akhirnya membuahkan hasil apabila Muhammad Safwan menyamakan kedudukan pada minit ke-55.
Dua minit kemudian, Naaveennash sekali lagi menemui sasaran untuk melengkapkan kebangkitan Malaysia dan memastikan skuad negara menutup perlawanan dengan kemenangan 3-2.
Mengulas perlawanan, ketua jurulatih negara, Norsaiful Zaini, mengakui faktor keletihan selepas beraksi pada hari sebelumnya menjadi antara cabaran yang perlu ditangani pemain sepanjang perlawanan.
“Dalam dua suku pertama, kita mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol, tetapi gagal menyempurnakannya. Apabila Pakistan mendahului 2-1, pemain terpaksa melakukan kerja lebih untuk mencari gol penyamaan.
“Perlawanan ini agak dramatik. Bagaimanapun, pengalaman melakukan kebangkitan seperti ini amat penting buat pemain muda. Saya mengucapkan tahniah kepada semua pemain atas usaha dan semangat juang yang ditunjukkan,” katanya.
Norsaiful turut menyifatkan kejayaan mara ke final sebagai pencapaian bermakna buat pasukan, lebih-lebih lagi selepas sekian lama Malaysia tidak beraksi di pentas akhir kejohanan itu.
Kemenangan ke atas Pakistan mengekalkan rekod tanpa kalah Mlaaysia dengan tiga kemenangan berturut-turut dan berada di kedudukan teratas, selain mengesahkan tempat di final.
Bagaimanapun, tugas Young Tigers belum selesai apabila mereka bakal menentang Kanada dalam aksi terakhir pusingan liga pada Jumaat ini sebelum memberikan tumpuan sepenuhnya kepada aksi final.
Dengan momentum kemenangan yang semakin membara dan semangat juang yang ditampilkan ketika menewaskan Pakistan, Young Tigers kini mempunyai peluang untuk menamatkan kempen Piala Sultan Johor 2026 dengan penuh bergaya.









