Pertemuan menentang India dan China dalam dua perlawanan pertama bakal menjadi ujian penting buat skuad Hoki Wanita Kebangsaan apabila memulakan kempen pada Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia 2026 di Bhopal, India, dari 19 hingga 28 November ini.
Ketua Jurulatih Hoki Wanita Kebangsaan, C.R. Kumar, bagaimanapun melihat jadual perlawanan tersebut sebagai peluang terbaik untuk menguji tahap perkembangan pasukannya apabila Malaysia bakal berdepan dua pasukan yang mempunyai kedudukan ranking dunia lebih tinggi, iaitu India di tangga ketujuh dan China di tangga keempat, berbanding Malaysia yang kini berada di kedudukan ke-21 dunia.
Menurut C.R. Kumar, pertemuan awal dengan dua pasukan tersebut mampu memberikan cabaran yang diperlukan buat pemain untuk mengukur kemampuan sebenar mereka, selain menguji keberkesanan pendekatan permainan yang telah dirangka sepanjang tempoh persiapan.
“Pada saya, jadual ini sebenarnya baik untuk pasukan kerana kami akan berdepan dua pasukan yang kuat dalam perlawanan awal. Pasukan kami sedang berkembang dan berada dalam proses pembangunan yang positif. Kami juga sedang berusaha untuk mencapai tahap yang disasarkan.
“Sekiranya kita tidak mampu menguasai permainan sepenuhnya, kita perlu tahu bagaimana untuk mengawal lawan. Itulah antara perkara penting yang perlu diterapkan oleh pemain apabila berdepan India dan China nanti,” katanya.
Malaysia akan membuka kempen menentang tuan rumah India sebelum bertemu China dalam perlawanan kedua. Korea Selatan akan menjadi lawan seterusnya sebelum Malaysia berdepan Jepun dan menutup pusingan pertama menentang Thailand.
Seramai 20 pemain telah dipilih untuk membawa cabaran negara pada kejohanan tersebut. Barisan pemain yang disenaraikan merupakan kumpulan yang mempunyai pengalaman beraksi di pentas antarabangsa termasuk beraksi pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Bagaimanapun, tiga pemain (Siti Zulaikha Husain, Iman Adawiyah Mohd Suhaimi dan Anith Humaira Baharudin) yang beraksi pada Sukan Asia 2026 baru-baru ini tidak disenaraikan kerana masih menjalani proses pemulihan kecederaan. Tempat mereka digantikan Dian Nursyakira Najwa Al Wadqa Nazeri, Nur Shafika Ahmad Kamil dan Nur Zuha Qistina Ridzuan.
“Pemain yang dipilih ini sudah menjalani latihan bersama dan mempunyai pendedahan beraksi di pentas antarabangsa. Kini apa yang penting adalah setiap pemain perlu melaksanakan tugas serta perancangan pasukan dengan sebaik mungkin sepanjang kejohanan,” katanya.
Skuad negara yang telah menjalani latihan intensif selama empat minggu dijadualkan berlepas ke India pada 13 November ini bagi meneruskan kem latihan di Gowalia. Beberapa siri latihan tambahan serta perlawanan persahabatan bersama Pasukan Wanita Akademi Hoki Gowalia diatur sebagai persediaan terakhir sebelum memulakan kempen di Bhopal.
“Keadaan cuaca di sana lebih sejuk dan ini memberi peluang kepada pemain untuk menyesuaikan diri lebih awal dengan persekitaran serta keadaan permainan sebelum kejohanan bermula,” jelasnya.
Mengulas mengenai sasaran pasukan, C.R. Kumar mahu pemain menampilkan persembahan yang lebih baik berbanding penampilan pada Aichi-Nagoya 2026, selain berusaha mencatatkan keputusan yang lebih positif di Bhopal.
“Pengalaman di Sukan Asia memberikan banyak input kepada kami untuk menilai kekuatan dan kelemahan pasukan sendiri serta mengkaji pasukan-pasukan lawan. Daripada pengalaman itu, kami menyediakan perancangan dan strategi permainan yang lebih baik untuk kejohanan ini.
“Sasaran saya adalah untuk melihat pemain memberikan persembahan yang lebih baik berbanding Sukan Asia lalu dan pada masa sama, berusaha mencapai keputusan yang lebih baik. Saya mahu pemain membawa segala pengalaman yang telah diperoleh dan menterjemahkannya kepada prestasi yang lebih meyakinkan di Bhopal,” katanya.










