Faizal Saari muncul wira kebangkitan luar biasa Skuad Senior Lelaki Kebangsaan menyambar tiket final Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2026 dengan cara yang penuh dramatik.
Meskipun ketinggalan dua gol, namun sikap tidak menyerah kalah dipamerkan para pemain menjadi kunci kejayaan Speedy Tigers mengikat Pakistan 5-5 dalam aksi terakhir liga sepusingan di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak.
Faizal menganggap berterima kasih kepada rakan sepasukan kerana tanpa mereka, dia tidak akan dapat menjaringkan tiga gol sekali gus memastikan kejayaan pasukan ke pentas final.
“Apabila saya ada peluang, saya akan gunakan sebaik mungkin. Saya pun tak sangka dapat jaring dua gol dalam tempoh yang amat pantas, saya cuma berikan yang terbaik buat pasukan.
“Semua pemain berjuang dari wisel mula hingga minit ke-60. Jadi saya sangat berpuas hati dengan prestasi kami walaupun keputusan berakhir 5-5 tetapi kami berjaya layak ke final,” kata Faizal yang kini mengungguli carta penjaring terbanyak dengan 11 gol.
Skuad Senior Lelaki Kebangsaan membuka tirai jaringan menerusi gol padang Azrai Aizad Abu Kamal seawal minit ketiga, namun Pakistan bangkit mendahului 2-1 dengan dua gol pantas Ahmad Nadeem pada minit ke-13 dan 15.
Speedy Tigers tidak mudah mengalah apabila mengikat kedudukan menerusi kapten, Marhan Jalil pada minit ke-20, namun Pakistan bangkit mendahului 4-2 hasil gol Muhammad Ammad dan Hannan Shahid pada minit ke-32 dan 48.
Usaha berterusan barisan pemain akhirnya menuai hasil lumayan apabila Faizal berjaya meledak dua gol pantas dalam tempoh hanya beberapa saat pada minit ke-50 untuk mengikat kedudukan 4-4.
Perlawanan seakan memihak Pakistan yang berjaya meledak gol kelima menerusi pukulan sudut penalti Sufyan Khan pada minit ke-57.
Namun, kejayaan Fitri Saari mendapatkan penalti stroke yang kemudiannya disempurnakan dengan cukup baik oleh Faizal pada minit ke-58 memastikan Speedy Tigers kembali ke pentas final sejak kali terakhir bergelar juara pada edisi 2022.
Skuad Senior Lelaki Kebangsaan berpeluang mencipta sejarah baharu dengan menewaskan Australia buat kali pertama di pentas final pada Sabtu ini.
“Australia di ranking ketiga dunia tetapi kita main di laman sendiri. Apa sahaja boleh berlaku dan kami akan berikan sepenuh jiwa dalam aksi final nanti,” tambah Faizal.









