Siri Ujian: Malaysian Tigress Nyaris Ikat India

In MAIN

Skuad wanita kebangsaan yang turun untuk aksi ujian keempat bertemu pasukan India di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini hampir mengikat India dengan keputusan tanpa jaringan namun kesilapan yang berlaku pada minit ke-55 menyaksikan mereka terpaksa akur tewas 0-1 kepada lawannya itu.

Bagaimanapun pujian harus diberikan kepada Malaysian Tigress yang berjaya membuat pasukan India buntu mencari jalan untuk menghasilkan jaringan apabila skuad negara berjaya menidakkan deretan peluang India untuk menjaringkan gol termasuk menerusi kelebihan pukulan sudut penalti.

Bagi kapten negara, Siti Noor Amarina Ruhani, dia telah menjangkan lawan mereka itu akan memberikan tentangan yang hebat selepas terikat seri 4-4 pada aksi ketiga tempoh hari.

“Kami telah menjangkakan India akan memberikan saingan yang sengit pada aksi hari ini kerana India pastinya mahu menunjukkan tahap sebenar mereka selepas kami berjaya mengikat mereka pada aksi ketiga tempoh hari.

“Aksi hari ini pada pandangan saya kami sepasukan telah melakukan tugas dengan baik sama ada menyerang mahupun bertahan kerana kami juga memiliki beberapa peluang untuk menjaringkan gol cuma kami tidak berjaya menterjemahkan kepada jaringan,” jelasnya yang ditemui selepas tamat perlawanan.

Lalremsiami berjaya untuk memecah kebuntuan jaringan India pada minit ke-55 apabila penjaga gol negara, Farah Ayuni Yahya yang kebal mempertahankan banteng terakhir negara itu melakukan kesilapan ketika cuba untuk menampan keluar bola tersebut untuk keputusan perlawanan berakhir dengan kemenangan 1-0 buat India.

Amarina turut melontarkan pandangan mengenai kesilapan melepaskan satu gol dan ia perlu diperbetulkan dengan memperkemaskan lagi corak ketika bertahan agar kesilapan yang sama tidak berulang selain turut dan memuji rakan-rakan sepasukannya yang mula menyesuaikan diri dengan struktur permainan baru selain telah mempamerkan peningkatan pada setiap perlawanan.

“India memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi kami berjaya untuk menyekat peluang-peluang tersebut namun kami bolos juga satu gol dan ini bermakna kami perlu memperkemaskan lagi corak ketika bertahan.

“Kami kini bermain dengan struktur yang baru di mana ia antara strategi yang cuba coach terapkan untuk aksi Siri Final Wanita nanti tetapi saya lihat pasukan telah mula memahami kehendak coach dan kami mula faham bagaimana untuk beraksi dengan corak permainan yang baru ini.

“Perlawanan hari ini juga dapat dilihat kami telah mengecilkan jurang dari segi jumlah jaringan dan pastinya kami inginkan kemenangan jadi kami akan berhabis-habisan untuk perlawanan esok,” tambahnya lagi.

Malaysian Tigress akan turun untuk pertemuan terakhir dengan India esok di venue yang sama jam 5.45 petang.

Recent Posts

Leave a Comment