Oltmans Mahu Skuad Negara Terus Cabar Diri Di Jelajah Korea Selatan

Jurulatih skuad hoki kebangsaan, Roelant Oltmans mahu pastikan siri jelajah Korea Selatan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pemain negara dalam persiapan mereka untuk hadapi perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 menentang Great Britain, awal November nanti.

Seramai 20 pemain akan ke Korea Selatan pada 19 September dengan empat perlawanan ujian akan dihadapi mereka sepanjang tempoh 10 hari di sana.

Ia bakal memberikan gambaran lebih terperinci buat Oltmans untuk mengenalpasti bahagian yang perlu ditingkatkan sebelum berdepan Great Britain di Lee Valley Hockey & Tennis Centre, London pada 2 dan 3 November.

“Kami akan teruskan usaha dalam beberapa elemen perlawanan, lihat strategi dan bila tempoh untuk melakukan adaptasi dan itu yang kami terapkan dalam tempoh beberapa minggu ini. Kami akan cabar diri sendiri dalam jelajah Korea ini untuk melihat peningkatan yang saya harapkan,” jelas Oltmans.

Bagi pemain negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, keputusan positif yang dicatat pada jelajah Korea Selatan ini pastinya dapat terus meningkatkan lagi motivasi di kalangan pemain untuk berdepan Great Britain nanti.

Ia juga pentas terbaik buat pemain negara untuk menutup sebarang kelemahan berdasarkan maklumbalas yang diberikan oleh barisan kejurulatihan.

“Keputusan harapkan keputusan yang positif di Korea Selatan supaya dapat terus tingkatkan tahap motivasi untuk kita bersaing dengan Great Britain di halaman mereka.

“Daripada segi individu, peningkatan masih lagi perlu terutamanya pada kelemahan yang ada menerusi apa yang telah diberitahu oleh jurulatih khususnya,” jelas Tengku Ahmad Tajuddin.

 

Recent Posts

Leave a Comment