Tiada Yang Mustahil Buat Skuad Negara – Faizal

Penyerang skuad hoki negara, Faizal Saari percaya dengan peluang Malaysian Tigers untuk mengatasi Great Britain bagi perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijadualkan berlangsung di Lee Valley Hockey & Tennis Centre, London awal November nanti.

Dua perlawanan berturut-turut bakal diharungi skuad kendalian Roelant Oltmans dalam misi merebut satu tiket ke Tokyo tahun hadapan dan Faizal berpandangan kemenangan mampu dicapai andai seluruh pasukan berikan tumpuan penuh terhadap lawan.

“Great Britain antara pasukan yang gah di dunia tetapi pada saya tiada yang mustahil. Andai dapat serasikan diri dengan cuaca dan keadaan di sana, kita mampu beri tumpuan penuh untuk raih kemenangan. Kita perlu bijak manfaat peluang dalam setiap perlawanan kerana ia dilangsungkan secara berturut (back to back),” jelas Faizal sebelum sesi latihan skuad negara pada Jumaat.

Sementara itu, seorang lagi pemain negara, Mohd Fitri Saari melihat kekuatan mental perlu ditingkatkan menjelang aksi dengan Great Britain.

“Kita masih punyai masa, sekiranya kami dapat kekalkan kerja keras sepanjang tempoh ini tiada yang mustahil untuk kita atasi Great Britain tetapi aspek mental dan fizikal perlu lebih ditekankan.”

Skuad hoki lelaki kebangsaan akan meneruskan persiapan di Korea Selatan di mana mereka akan ke sana pada 19 September dan kembali ke Malaysia pada 29 September 2019. Seramai 20 pemain telah dipilih untuk mengikuti aksi ujian yang telah dirangka.

Dalam pada itu, keadaan berjerebu yang melanda Kuala Lumpur khususnya tidak menggugat perancangan latihan yang telah diatur oleh Oltmans.

“Sekiranya keadaan menjadi lebih kritikal, kami akan membuat perubahan terhadap program latihan sedia ada. Ketika ini kami lebih utamakan program kecergasan khas babitkan ‘attitude chamber’ dan tidak perlu harungi latihan lebih kerap di padang,” jelas Oltmans.

 

Recent Posts

Leave a Comment