Dua pemain senior Skuad Projek Khas Hoki Wanita Kebangsaan iaitu Nuraini Abdul Rashid dan Fatin Shafika Mohd Sukri bakal menyertai Kelab yang berpangkalan di England, East Grinstead H.C selama sebulan.
Nuraini dan Fatin Shafika akan terbang pada minggu ini dan akan bersama pasukan tersebut sehingga 18 Oktober 2021 bagi membantu pasukan yang muncul selaku naib juara Liga Hoki England (Premier) musim lalu itu beraksi di Liga Hoki Eropah (EHL) dan juga mencabar saingan musim baru Liga Hoki England (Premier) 2021.
Nama Nuraini Rashid tidak asing bagi Kelab Hoki East Grinstead kerana penampilan kali ini merupakan penampilan kali ketiga beliau bersama pasukan tersebut di mana Nuraini telah bersama pasukan itu pada September hingga Disember 2019 ketika membuat penampilan pertama dan Februari hingga April 2020 bagi penampilan keduanya.
“Saya bersyukur dengan peluang yang diberikan untuk membuat penampilan kali ketiga bersama Kelab Hoki East Grinstead dan pastinya saya mahu mengekalkan prestasi yang telah saya berikan pada dua musim lalu dan saya berazam untuk mengekalkan pencapaian bersama pasukan iaitu mengakhiri saingan liga dikedudukan dua pasukan terbaik.
“Liga di sana dan Liga di negara kita pastinya berbeza kerana England merupakan tiga pasukan terbaik di Sukan Olimpik Tokyo dan dalam pasukan East Grinstead sendiri, terdapat tiga pemain beraksi di Sukan Olimpik baru-baru ini jadi banyak ilmu yang pastinya boleh saya pelajari daripada mereka.
“Sudah semestinya saya teruja untuk kembali beraksi bersama mereka dan dalam masa yang sama saya mahu terus mengumpul pengalaman sebanyak yang boleh serta terus belajar perkara-perkara yang baru dengan mereka,” jelas Nuraini.
Dalam pada itu, beraksi bersama Kelab Hoki East Grinstead akan menjadi pengalaman pertama buat Fatin Shafika yang sebelum ini pernah menyertai Kelab Hoki Butterfly Roma di Rome, Itali, pada September hingga November 2018 juga bersama-sama Nuraini ketika itu dan kembali bersama pasukan yang sama sekali lagi pada September hingga November 2019.
“Sudah tentu saya gembira dan sangat teruja untuk beraksi di saingan Liga Hoki England. Dengan peluang yang diberikan ini saya mahu menggunakannya dengan sebaik mungkin. Saya juga mahu tunjukkan kepada mereka bahawa pemain-pemain Malaysia juga mempunyai kualiti untuk beraksi bersama mereka,” ujar Fatin Shafika.