Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan 2-3 England B-21

In MAIN

Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan yang turun bagi aksi kedua dalam Siri Jelajah United Kingdom 2021 bertemu Pasukan England B-21 di Bisham Abbey hari ini terpaksa akur dengan keputusan tewas tipis 2-3.

Semangat tidak putus asa Skuad Remaja Negara perlu diberikan pujian apabila mereka bangkit untuk menyamakan kedudukan 1-1 menerusi gol padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-40 selepas pasukan lawan terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi gol pukulan sudut penalti.

Kedudukan 1-1 itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila England B-21 melebarkan jurang gol dengan menambah dua gol pada minit ke-45 menerusi gol padang dan berselang lima minit kemudian gol ketiga mereka terhasil daripada pukulan sudut penalti.

Pasukan negara bangkit untuk merapatkan kedudukan pada minit ke-55 selepas Muhammad Arif Shafie Ishak tidak mensia-siakan kelebihan pukulan sudut penalti untuk kedudukan berubah 2-3 namun percubaan untuk mencari satu lagi gol bagi mengikat kedudukan tidak kesampaian dan keputusan 2-3 kekal sehingga wisel penamat.

Pengendali Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan, Wallace Tan melihat anak-anak buahnya berjaya menunjukkan peningkatan dalam perlawanan kedua ini dan akan menjadikan aksi hari ini sebagai penanda aras bagi mereka terus bangkit dalam pertemuan ketiga bertemu England B-21, sekali lagi.

“Pemain menunjukkan peningkatan dalam perlawanan hari ini walaupun pada awalnya kami ketingglan 0-1 tetapi pemain bangkit menyamakan kedudukan 1-1.

“Kami ketinggalan semula 1-3 dan kemudian pemain bangkit sekali lagi mengubah kedudukan 2-3 dan kami hampir untuk mencatat keputusan seri.

“Selain daripada keputusan, yang penting adalah cara pemain beraksi hari ini dan terdapat peningkatan dalam permainan, tetapi saya melihat kami masih lagi perlu terus belajar untuk memperbaiki lagi kekurangan yang ada.

“Esok kami akan turun untuk satu lagi perlawanan bertemu Pasukan England B-21, jadi kami perlu belajar daripada perlawanan hari ini dan terus memperbaiki bahagian-bahagian yang perlu kami perbaiki untuk maju ke hadapan,” jelasnya.

Skuad Remaja Negara akan turun menentang Pasukan B-21 England di Bisham Abbey sekali lagi bagi perlawanan ketiga yang akan berlangsung pada Rabu (6 Oktober) jam 10.30 malam waktu Malaysia.

Recent Posts

Leave a Comment